Aktiviti pengimarahan masjid dibenarkan hampir kesemuanya di Pulau Pinang


KERAJAAN 
negeri Pulau Pinang dilapor telah membenarkan semua masjid dan surau di negeri itu untuk menjalankan hampir semua aktiviti pengimarahan masjid.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) dalam pekeliling yang dikeluarkan pada Khamis telah membenarkan aktiviti pengimarahan masjid antaranya kuliah subuh, kuliah duha dan kelas pengajian agama diadakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Kerajaan negeri turut memberi kebenaran untuk majlis akad nikah, program bantuan kebajikan serta khidmat nasihat diadakan di masjid dan surau.

Selain itu, solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid serta surau Jumaat juga dibenarkan, namun ia dihadkan pada kadar bilangan jemaah mengikut keluasan masjid dan ruang yang bersesuaian dengan mengambil kira penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Turut dibenarkan adalah perlaksanaan solat jenazah bukan Covid-19 di masjid dan surau, aktiviti menziarahi kubur dengan pengamalan kendiri juga dibolehkan.

menurut Pengarah JHEAINPP Mohd Zakuan Zakaria, ketetapan itu dibuat melalui perbincangan dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang pada 2 Mac lalu.

"Arahan perlaksanaan aktiviti masjid dan surau ini akan dikeluarkan dari semasa ke semasa secara berperingkat tertakluk kepada situasi semasa wabak Covid-19," jelasnya.

Manakala garis panduan baharu ini jelasnya akan dikuatkuasakan bermula esok (Jumaat).

 Panduan baharu berkuatkuasa esok
Sebagai rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang antara yang paling awal membuka dan membenarkan aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di negeri itu sebelum ini, walaupun pernah ditohmah  kononnya cuba menindas Islam dan orang Melayu di negeri itu. 

Kerajaan DAP yang memimpin Pulau Pinang pernah difitnah musuh politiknya dengan dakwaan melarang laungan azan di masjid di negeri itu. 



Post a Comment

0 Comments