K'jaan digesa benarkan kedai makan beroperasi hingga 10 malam

 


AHLI PARLIMEN Lembah Pantai, Fahmi Fadzil meminta kerajaan meneliti semua ketatapan waktu operasi kedai makan di kawasan yang terlibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 
Menurut Fahmi, beliau banyak menerima aduan dari masyarakat dan peniaga kedai makan bahawa kebenaran diberikan untuk mereka menjalankan perniagaan hanya sehingga jam 8 malam tidak munasabah.

“Di kawasan saya, pelbagai aduan telah diberikan oleh pengusaha kedai makan yang mengatakan waktu tutup kedai makan jam 8 malam ini tidak munasabah.

“Contohnya saya ada terima aduan daripada penjual burger di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, mereka mengadu biasanya menjual burger sebelah malam. Jadi bila dilarang maka hilang punca pendapatan dan ini meninggalkan kesan yang agak besar.

“Ada juga mereka yang balik kerja tetapi kedai makan sudah tutup. Tiada tempat lagi mereka hendak membeli makanan,” katanya dipetik laporan Sinar.

Tambah Fahmi, tinjauan di media sosial turut mendapatai warganet turut tidak bersetuju operasi kedai makan hanya dihadkan untuk tempoh tersebut, mereka mendesak supaya kebenaran perniagaan dilanjutkan sehingga jam 10 malam.


“Saya lihat ada keperluan pihak kerajaan meneliti perkara ini. Kalau kita lihat sebelum ini hanya sesetengah kedai dobi dibenarkan kemudian SOP diubah untuk membolehkan kedai dobi layan diri dibuka sekali.

Terima banyak aduan dari peniaga
“Taman Awam sebelum ini tidak boleh tetapi hari ini (Jumaat) Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kata boleh. Maka, saya pinta kerajaan pertimbangkan semula dan benarkan kedai makan beroperasi setidak-tidaknya sehingga jam 10 malam,” katanya.

Selain kedai makan, Fahmi juga meminta kerajaan membenarkan kedai runcit dibuka sehingga 10 malam untuk memudahkan masyarakat terutama mereka yang bekerja lewat.

Post a Comment

0 Comments