BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Mohd. Salleh Abas dilapor meninggal dunia pada pukul 3.20 pagi tadi.
Allahyarham yang berusia 91 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Raja Nurzahirah, Kuala Terengganu, Terengganu.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anak-anaknya dalam aplikasi WhatsApp.
“Dengan amat dukacita, ayahanda kami, Tun Mohd. Salleh Abas telah kembali ke rahmatullah pada pukul 3:20 pagi Sabtu 16 Januari 2021.
May Allah forgive him and place him amongst the righteous. May Allah reward him with Jannatul Firdaus,” kata mereka.
Terdahulu, Allahyarham Mohd. Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd. disahkan positif Covid-19, berita itu disahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed pada 14 Jan.
Salleh yang berasal dari Kampung Raja, Besut pernah bertugas sebagai pendakwaraya, dilantik sebagai hakim pada 1984 dan menjadi presiden Mahkamah Persekutuan yang terakhir pada 1988.
Pada tahun sama, jawatan presiden mahkamah tertinggi negara itu ditukar dan digantikan namanya menjadi ketua hakim negara.
Salleh disingkir sebagai ketua hakim negara oleh tribunal yang dibentuk selepas peristiwa pengharaman Umno pada 1988, sekali gus mengakibatkan kehilangan pencennya.
Sebagai pendakwa raya, Salleh terkenal dalam pendakwaan terhadap Sultan Iskandar Ismail pada tahun 1973 ketika seri paduka baginda menjadi putera mahkota.
![]() |
Tun Salleh Abas berusia 91 tahun |
Sebelumnya pada 1995, Allahyarham menjadi calon untuk parti Semangat 46 di kerusi parlimen Lembah Pantai, tetapi tewas kepada Shahrizat Abdul Jalil dari Umno.