Menara Luncai

Oleh: FAISAL TEHRANI | Di alam Melayu, orang yang mula-mula mencadangkan pembinaan menara tinggi menjolok buntut langit, tidak lain tidak bukan adalah Luncai. Sayugia diingatkan Luncai bukanlah ahli iktisad dan tidak memerlukan pun perbahasan atau kupasan mengenai skyscraper effect dan hubungkaitnya dengan ekonomi.

Pun, dalam Luncai ada kisah menara tinggi, dan kecaman terhadap kapitalis serta agamawan.

Harus diingat, menara tinggi sejak dari dulu lagi sudah disabitkan dengan penjahat, kapitalisme, dan agamawan hipokrit. Tidak perlu kita merenung sejauh Firaun untuk mengaitkan bangunan agam besar dengan kezaliman. Dalam korpus Melayu sendiri ada.

Dalam novel saya berjudul Profesor dan diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai The Professor, saya ada memerikan serba sedikit mengenai Luncai ini.

Begini, Luncai yang kita tahu pada mulanya dihukum bunuh oleh raja kerana pemerintah itu berasa terhina ekoran Luncai menyamakan rupanya dengan rupa ayah Luncai. Harus diingat Luncai hidup di zaman tepu feudalisme, yang mana menegur mana-mana raja sebagai bodoh boleh membawa kepada hukuman mati. Oleh sebab menyamakan wajah raja dengan wajah bapanya, maka Luncai dihukum mati. Ini kerana Luncai itu hodoh, jadi raja memikirkan bapa Luncai tentulah juga bodoh dan hodoh.

Tetapi kita juga tahu betapa kebijaksanaan Luncai telah menyelamatkannya, di mana dia dapat membodohkan algojo yang ditugaskan. Maka Luncai terjun sampan dan berenang ke tebing. Dia mentertawakan algojo-algojo pengampu pemerintah yang bangang belaka itu. Algojo itu semua adalah lambang penjawat awam yang hanya kaki angguk dan ‘saya yang menurut perintah’.

Dalam cerita asal Luncai, watak ini juga telah membodohkan pula seorang saudagar. Tentu ia adalah lambang bagaimana kaum kapitalis diherdik secara bersengaja. Bukan sahaja saudagar itu dibedebahkan, ia bahkan diikat dalam guni dan disuruh berteriak sambil berangan untuk kahwin anak raja. Algojo yang mengejar Luncai tiba ke tebing itu dan menyangka dalam guni itulah Luncai, maka dibedal dipalu beramai-ramai.

Luncai tidak berhenti setakat itu. Dia mungkin boleh saja melarikan diri ke negeri-negeri selat tetapi apa yang Luncai lakukan ialah dengan bersengaja dia pulang menemui raja yang hendak membunuhnya itu. Luncai tidak kembali kosong. Dia membawa naratif yang saya namakan naratif ‘Menara Luncai 118’. Luncai melabun cerita khayal betapa kononnya dia sudah arwah dan sebetulnya telah berangkat ke syurga. Oleh sebab dia masuk syurga, Luncai boleh minta apa sahaja. Maka Luncai meminta izin untuk dibenarkan pulang seketika.

Sudah tentu, raja yang menyangka hidupnya itu diberkati kerana ada bini dan anak jelita, dan percaya mahkotanya takkan dimamah tanah, telah dihinggap rasa tamak. Raja pun teringinkan kehidupan mewah di syurga lantaran sudah dibodohkan Luncai.

Bagaimana Luncai memijak pemerintah waktu itu? Luncai memberitahu, untuk ke syurga mudah saja. Misalnya raja boleh mengintip suasana indahnya kehidupan di syurga. Raja terpesona sekali, tambah-tambah bila Luncai memberitahu yang semua leluhurnya, tok neneknya raja-raja sudah masuk syurga dan berkirim salam dari sana.

Luncai mengajarkan agar dibina sebuah menara tinggi. Meskipun menara itu tidak setinggi menara yang akan dirasmikan Ismail Sabri, dan tiada pundaknya seibarat kepala kelamin yang menutuh langit. Menara Luncai itu tetaplah dianggap tinggi pada zaman itu. Maka segala jurutera pun dititah membina sebuah menara yang tajam puncaknya, dan ada pelantar untuk mengintai syurga.

Memang cerita Luncai itu tidak munasabah dan mengarut, tetapi Luncai berjaya meyakinkan raja, kerana dari mula Luncai juga telah membongokkan para ulama zaman itu. Luncai memberitahu kaum agamawan yang untuk bisa melihat syurga cukup ada zikir tertentu yang boleh dibaca. Sekian ulama menurut saja, sebab perut ulama itu pun buncit dengan harta.

Setelah menara itu siap, ramai yang beratur untuk mendakinya dan mengintai keadaan syurga. Pesan Luncai, barang siapa yang tiba di atas sana, dan tidak nampak apa; maka mereka itu adalah anak haram. Ini kerana anak haram tak cium bau syurga.

Berderet-deret ulama yang naik ke atas puncak menara itu semua tahu dalam hati yang mereka anak haram (kerana gagal nampak syurga), tetapi masakan mahu mengakui mereka anak haram.

Maka bila turun ke bawah masing-masing pun membuat cerita yang mereka nampak syurga. Mereka malah saling celah mencelah dan menyampuk, menambah rupa syurga. Sebab tidak mahu pecah rahsia yang setiap dari mereka adalah anak haram. Sakan setiap seorang bertembelang.

Giliran raja memanjat menara itu ke atas juga. Malang raja juga tidak nampak syurga meskipun dia sudah berada di puncak pelantar paling tinggi Menara Luncai. Namun, untuk mengaku tidak nampak syurga tentulah aib sekali. Sebab semua ulama yang sebelum ini tiba di situ masing-masing mengakui ada terlihatkan syurga dengan macam-macam kehebatannya.

Raja pun terdetik dalam hati, rupanya dia anak haram. Bila turun ke bawah, raja pura-pura bahawa konon sudah melihat bagaimana indahnya syurga dari menara yang demikian tinggi (untuk standar zaman Luncai).

Sampai hari ini tidak diketahui siapa pengarang kisah jenaka Melayu yang luar biasa ini; Luncai. Menurut Liaw Yock Fang dalam A History of Classical Malay Literature, kisah ini datang dari India. Akan tetapi Fang tidak dapat memberi bukti. Tidak ada mana-mana saduran atau kisah asal yang dapat dijejaki persisnya Luncai.

Saya beranggapan Luncai datang dan lahir di alam Melayu. Ia kisah yang ditulis oleh orang Melayu. Orang Melayu kalau memerli menyindir nombor satu. Sebab pengarang Luncai tahu, memang nanti di masa mendatang akan ada saudagar jahanam (kapitalis keparat mandi laut santan) yang mesti dibubuh dalam guni. Pengarang Luncai dulu-dulu itu tahu memang ada agamawan lahanat yang akan menjual dan sanggup menunggang agama. Tambah-tambah si pencipta Luncai tahu akan ada menara yang akan dibina menjulang tinggi untuk mengintai syurga, sambil masing-masing berbisik dan percaya ia adalah kemakmuran.

Tiada guna menara megah jika rakyat susah
Padahal dalam hati masing-masing juga tahu sendiri-sendiri, yang mereka anak haram rupanya.

Mulai hari ini, saya Faisal Tehrani memanggilnya Menara Luncai. Saya undang anda menggunakannya juga.

Nah, hebat tidak tradisi bercerita orang Melayu?



FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Tulisan ini disalin dari siaran di portal FMT dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia

Post a Comment

0 Comments