Malaysia kecam insiden terbaru bakar al-Quran


MALAYSIA
mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keji berulang yang menyaksikan kitab suci al-Quran dibakar di Denmark.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan Wisma Putra melalui ciapan Twitternya pada Sabtu.

Merujuk kejadian pada 24 dan 31 Mac lalu, Malaysia kata Wisma Putra berpandangan tindakan tersebut satu perbuatan tidak bertamadun yang dilakukan terutama ketika umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut bulan Ramadan.
 
"Jenayah penuh kebencian terhadap kitab suci Islam yang dilakukan pada bulan Ramadan yang mulia ini adalah satu tindakan yang tidak mempedulikan sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.
 
"Kami menyeru Kerajaan Denmark untuk tidak mengklasifikasikan jenayah kejam ini sebagai kebebasan bersuara, dan segera mengambil tindakan terhadap pelaku kerana menyebarkan kebencian dan hasutan kepada keganasan," tegas Wisma Putra.

Terdahulu, kumpulan ekstremis anti-Islam berhaluan kanan Denmark Patrioterne Gar Live bertindak membakar kitab suci al-Quran termasuk mempamerkan sepanduk anti-Islam di hadapan bangunan Kedutaan Turkiye di Copenhagen, Denmark.

Tindakan itu bagaimanapun telah membawa kepada reaksi segera Kementerian Luar Turkiye yang mengecam tindakan terbabit disifatkan sebagai 'serangan keji' yang mencemarkan kitab suci al-Quran dan bendera Turkiye di Denmark.

Sebagai tindak balas, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, Ankara tidak akan menyokong bidaan Stockholm untuk menjadi ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pada Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia serta kerajaan Islam dan dunia Islam membantah keras kegilaan manusia dan haiwan ini yang sanggup membakar kitab suci.

Denmark digesa ambil tindakan terhadap 'serangan keji'
Tegasnya provokasi itu bukan sahaja mencetuskan sensitiviti kepada Turkiye, tetapi turut memberi kesan kepada lebih dua bilion umat Islam di dunia ini.

Justeru beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak kebencian kaum atau agama yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan kekal bersatu menentang segala bentuk hasutan kebencian serta keganasan.

Post a Comment

0 Comments