Jawatankuasa peringkat tinggi ditubuh, selesai isu doktor kontrak


KERAJAAN bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak.

Menteri Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa melalui satu kenyataan pada Sabtu berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet yang diadakan pada Jumaat.

Justeru jawatankuasa yang akan dibentuk kelak akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi serta akan melibatkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan isu diwarisi dari pentadbiran terdahulu itu.

"KKM sentiasa peka dengan permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan dan memastikan bahawa segala permasalahan dan permintaan ini diteliti sesuai dengan isu semasa.

“Ia diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama Dr Zaliha turut menegaskan KKM akan darsemasa ke semasa mengambil tindakan atas permintaan anggota kesihatan antaranya mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan dan kenaikan pangkat secara time-based.

Ia juga termasuk peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan selain Skim kesihatan lain juga diambil peduli dan ditambah baik.

Sementara itu ketika mengulas desas-desus mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini, Zaliha berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok itu.


KKM sentiasa peduli masalah disuarakan kakitangan
Bagaimanapun katanya KKM berpandangan mogok bukan penyelesaian terbaik terhadap permasalahan berkaitan profesion perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.


“Sebaliknya perkara ini perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Post a Comment

0 Comments