Pulau Pinang tambah 5 peratus kawasan tadahan air


KERAJAAN
Negeri Pulau Pinang merupakan antara negeri terawal yang mewartakan kawasan tadahan air di bawah Enakmen Pembekalan Air (EPA) Negeri 1998

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini Pulau Pinang telah mewartakan seluas 3,565 hektar Hutan Simpanan Kekal bagi tujuan itu.

"Pewartawaan itu bagi memastikan sumber bekalan air di Pulau Pinang terpelihara. Ia meliputi 70 peratus hutan simpanan kekal di Pulau Pinang yang telah dikhususkan untuk tujuan perlindungan kawasan hutan tadahan air sejak tahun 2004," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.

Kon Yeow berkata demikian sebagai respons kepada jawapan Menteri Alam Sekitar dan Air di Dewan Rakyat yang kononnya Pulau Pinang masih belum mewartakan walau sedikitpun kawasan tadahan air di negeri ini.

Tambah Kon Yew, isu itu timbul kerana pewartaan tersebut dibuat di bawah perundangan yang berbeza, namun kedua-dua perundangan tujuannya adalah sama iaitu mewujudkan dan memelihara kawasan sebagai kawasan tadahan air untuk menjamin bekalan air.

“Ini bermakna Pulau Pinang hanya akan mewartakan semula kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa Pulau Pinang juga telah bersetuju memperluas kawasan tadahan air itu kepada keluasan 3,791 hektar

"Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 2 Disember lalu, kita tidak mempunyai halangan untuk mewartakan hutan simpanan kekal kawasan sebagai hutan tadahan air di bawah Akta 313.

"Kita juga bersetuju meluluskan 3,791 hektar hutan simpanan kekal untuk diwartakan sebagai hutan tadahan air di bawah Seksyen 10(1)(e) APN 1984.

"Jumlah keluasan hutan simpanan kekal untuk tujuan pewartaan ini turut bertambah sebanyak lima peratus yang mana terdapat hutan simpanan kekal lain yang tidak diwartakan di bawah EPA 1998 pada 2004," jelasnya.

 Tambah keluasan kawasan tadahan air
Mengulas isu penjagaan alam sekitar, Kon Yew berkata, selain mewartakan kawasan tadahan air di negeri itu, Pulau Pinang juga merupakan negeri yang tidak mengamalkan kaedah pembalakan kawasan Hutan Simpanan Kekal.

“Kali terakhir aktiviti pembalakan dilaksanakan adalah pada tahun 1972 dan ini menunjukkan bahawa Pulau Pinang memberi perhatian yang serius terhadap isu ini,” tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments