Tak adil bebankan Dr Noor Hisham, Menteri Kesihatan mesti ditukar



KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) didesak menukar Menteri Kesihatan Adham Baba dengan individu yang lebih layak.

Gesaan itu disuarakan seorang Ahli Dewan negara, Senator Liew Chin Tong selepas melihat Ahli Parlimen Tenggara itu tidak layak untuk mengetuai kementerian yang paling penting ketika negara sedang memerangi wabak Covid-19.

"Sekiranya ia memerlukan lantikan politik daripada Umno demi mengelakkan masalah politik, sekurang-kurangnya Khairy Jamaluddin nampak jauh lebih berkebolehan daripada Adham Baba.

"Secara peribadi, saya meminta perdana menteri untuk melantik Khairy sebagai menteri kesihatan.

“Jika kerajaan hanya memberi Khairy portfolio imunisasi tanpa sokongan penuh daripada birokrasi Kementerian Kesihatan, ia seolah-olah mahu melihat beliau gagal," katanya.

Untuk rekod, walaupun bukan menjawat jawatan bukan berkaitan kementerian berkenaan, Muhyiddin Yassin melantik Khairy bagi menyelaras program imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Adham bersama dua timbalannya, Noor Azmi Ghazali dan Aaron Ago Dagang dilihat jarang menonjolkan diri dalam menghadapi krisis berkaitan penularan wabak Covid-19 sehingga dikritik rakyat.

Bekas Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly sebelum ini pernah membuat desakan supaya ketiga-tiga mereka bertanggungjawab dalam pembuatan keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau bertindak secara hormat untuk mengundurkan diri.

BACA: Berundur jika enggan pikul tanggungjawab, tegas Dr Dzulkefly
BACA: Lim Kit Siang gesa Dr Noor Hisham ganti Adham Baba


Malah veteran Politik, Lim Kit Siang pernah membuat gesaan supaya  Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang lebih menonjol dalam usaha menangani wabak itu dilantik sebagai menteri kesihatan menggantikan Adham Baba.

Sementara itu, Chin Tong dalam kenyataan di Facebooknya turut menyifatkan tindakan menyerahkan semua tugas, termasuk membuat keputusan dasar, kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah sebagai tidak adil.

 Dr Noor Hisham terpaksa pikul beban
Menurut Liew, dalam sistem demokrasi berparlimen Westminster, menteri perlu menggalas tanggungjawab penuh atas segala dasar yang diputuskan.

“Tugas KP kesihatan adalah untuk memastikan pelaksanaan dasar kementerian, iaitu dasar yang telah ditentukan oleh menteri selepas rundingan bersama dengan kabinet dan perdana menteri.

"Kerana kepimpinan politik Adham Baba yang lemah, KP kesihatan terpaksa memikul hampir semua beban pengurusan Covid-19. Kita berterima kasih kepada Noor Hisham kerana penilaian beliau banyak membantu negara pada peringkat awalnya.

Kata Liew, sekiranya menteri berkelayakan dan berkebolehan, KP Kesihatan tidak perlu pun membuat keputusan politik dan dasar yang sukar.

Post a Comment

0 Comments