CADANGAN ketua polis negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk menaikkan kompaun yang dikenakan terhadap pesalah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dipersetujui bekas Menteri Kesihatan.
Dr Dzulkefly Ahmad dipetik laporan Malaysiakini berkata, langkah itu dilihat bersifat terlalu menghukum dan bukan bertujuan mendidik masyarakat.
"Sebabnya kita tidak berjaya adalah kerana naratifnya tidak jelas dan juga dianggap terlalu cengeng dan menghukum. Kita mahu lihat lebih banyak pematuhan terhadap SOP dengan menggunakan pendekatan yang lembut.
"Dalam isu kesihatan awam kita pilih (pendekatan) sukarela, yang memberi manfaat dan mengajak untuk perubahan tingkah laku.
"SOP adalah mengenai menanam konsep perubahan tingkah laku dalam minda orang awam dan perubahan ini hanya boleh dicapai melalui pemberdayaan," jelasnya.
Abdul Hamid dipetik laporan sebuah portal baru-baru ini berkata, setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya kepada individu yang ingkar dan melanggar SOP PKP, yang kebanyakannya melibatkan kesalahan tiada penjarakan fizikal.
Tegasnya, sekiranya kompaun RM1,000 itu dianggap kecil maka mereka yang degil ini pasti akan menerima padah apabila arahan menaikkan nilai kompaun ini diwartakan.
“Sudah tiba masanya untuk nilai kompaun itu dinaikkan,” katanya.
Walau bagaimanapun di media sosial, sebilangan rakyat menyifatkan kompaun itu terlalu tinggi bagi rakyat biasa terutama ketika rata-rata rakyat berdepan masalah ekonomi. Bagi keluarga kecil, jumlah kompaun dikenakan boleh digunakan untuk perbelanjaan dapur untuk tempoh tiga bulan.
Sebelum ini, beberapa laporan media melaporkan luahan rasa tidak puas hati individu dikenakan kompaun, yang terbaharu melibatkan seorang wanita yang mendakwa dikenakan 'saman' itu ketika keluar dari kereta di kawasan yang menurutnya tiada individu lain.
Sementara itu , Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor mengingatkan, tindakan menaikan kadar kompaun hanya akan menyebabkan rakyat marah terutama sekiranya kerajaan dilihat bersikap tegas dengan orang biasa berbanding orang kenamaan.
![]() |
Pendidikan lebih berkesan dari menghukum |
BACA: Menteri PN berbeza darjat? soal Ahli Parlimen Kepong
Tambah Dzulkefly lagi, selain mengenakan hukuman berbentuk wang, kerajaan sewajarnya menggunakan kaedah lain seperti hukuman khidmat masyarakat dikenakan bagi mereka yang ingkar SOP.
0 Comments