PARTI politik pimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad tidak boleh menggunakan lambang parti Amanah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tanpa persetujuan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Perkara itu ditegaskan Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar seperti dipetik dari satu laporan media.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, prinsip itu jelas kerana Amanah sebahagian daripada HARAPAN.
“Amanah tetap berpegang kepada prinsip kita sebahagian daripada HARAPAN, sebarang penggunaan logo dan sebagainya mesti ditentukan HARAPAN.
"Sebagai contoh, PRU lalu kita setuju guna lambang KEADILAN, selepas kita menang PRU, kita guna logo HARAPAN bertanding dalam setiap pilihan raya kecil, jadi prinsip kita jelas hanya satu logo saja perlu digunakan.
“Kalau contohnya HARAPAN kata kita guna logo HARAPAN, bermakna logo Amanah tidak boleh diguna dalam PRU, termasuk Amanah sendiri atau mana-mana pihak.
"Mana mungkin kita (Amanah) buat keputusan guna lambang HARAPAN, tiba-tiba kita nak berikan logo kita diguna pihak lain, mana boleh?” katanya dipetik laporan FMT.
Mahfuz sebelumnya mengulas kenyataan Timbalan Presiden protem Pejuang, Marzuki Yahya yang mengesahkan parti itu mungkin menggunakan lambang Amanah pada PRU15, jika pendaftarannya tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Kenyataan Marzuki itu menyebabkan timbul rasa kurang senang sebahagian penyokong HARAPAN.
Sementara itu Mahfuz berkata, kenyataan berhubung lambang Amanah itu dibuat pemimpin Pejuang, bukannya Amanah dan sehingga kini parti itu tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Pejuang berhubung perkara itu.
“Semua pihak perlu memahami, baik Otai atau sesiapa saja, antara kenyataan dibuat Pejuang dengan keputusan dibuat oleh Amanah, itu berbeza.
![]() |
Amanah setia bersama Pakatan Harapan |
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan prinsip Amanah ialah tetap bersama HARAPAN dan semua pihak dalam gabungan itu tegasnya perlu bersatu jika mahu menang pada PRU15.