AHLI PARLIMEN Pasir Gudang Hassan Abdul Karim membuat gesaan supaya Muhyiddin Yassin dan menteri kabinetnya segera meletak jawatan.
Melalui satu kenyataan media, Hassan menyenaraikan empat sebab mengapa presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu melakukan demikian.
Menurut Hassan, Muhyiddin dan barisan menteri perlu berundur kerana gagal menangani penularan wabak Covid-19 selain gagal mentadbir sehingga menyebabkan keadaan ekonomi negara semakin merudum.
Selain itu beliau turut kerajaan berdepan masalah tadbir urus dan kepimpinan selain mengusulkan pengisytiharan darurat yang tidak wajar.
“Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia. Kesimpulannya, PM Muhyiddin dan kabinet pimpinannya telah gagal menangani Wabak Covid-19,” katanya sambil membangkitkan peningkatan kes yang semakin mencemaskan walaupun hampir seluruh negara telah dikenakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) 2.0.
"Jumlah kes semalam, iaitu 5,725 kes yang merupakan angka tertinggi, jelas menunjukkan kegagalan Muhyiddin," katanya.
Selain kerajaan dikepalai Muhyiddin gagal menangani penularan Covid-19 dengan berkesan, Hassan turut menyorot kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International untuk tahun ini, yang jatuh enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Sebagai rekod, Transparency International dalam laporan terbarunya mendedahkan Malaysia kini berada di tempat ke-57 daripada 150 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020. Ketika era Pakatan Harapan (HARAPAN), penilaian sebelumnya meletakkan Malaysia di tempat ke-51.
Menurut Hassan, keputusan menggugurkan atau membebaskan sejumlah kes mahkamah berprofil tinggi antaranya melibatkan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz menjadi faktor kejatuhan itu.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen KEADILAN itu turut berkata ekonomi negara juga gagal diuruskan dengan baik, dengan penurunan penarafan kedudukan kewangan negara dan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) seperti didedahkan baru-baru ini.
"Berjuta rakyat hilang pekerjaan. Kadar hutang negara berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) semakin meningkat. Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur," katanya lagi.
“Terakhir sekali ialah fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada tahun 2020,” katanya lagi.
![]() |
Hassan gesa Muhyiddin dan kabinet berundur |
“Dengan berlandaskan seekurang-kurangnya empat sebab kegagalan ini, maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera,” katanya dipetik.
0 Comments