SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melancarkan siasatan terhadap dakwaan salah laku dan 'penyeksaan' dilakukan terhadap seorang saksi SPRM yang didedahkan semalam.
Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan bersama mengecam intimidasi itu menggesa Ketua pesuruhjaya SSPRM, Azam Baki memandang serius dan bertindak menghentikan budaya membuli dan mengganasi suspek dan saksi yang didakwa berlaku.
“Kami menyatakan solidariti kami kepada saudari Nurul Hidayah dan rakan-rakannya serta semua yang menjadi mangsa penyeksaan, ancaman dan taktik menakut-nakutkan oleh SPRM dan meminta siasatan penuh terhadap insiden mengaibkan ini,” kata kenyataan ditandatangani Rodziah Ismail (KEADILAN), Chong Eng (DAP) dan Aiman Athirah Sabu (Amanah) tersebut.
Semalam, pembantu kepada bekas Menteri Sukan, Siti Nurul Hidayah mendakwa dilayan secara tidak adil ketika disoal siasat oleh pegawai SPRM.
Antara lain, beliau mendakwa pegawai SPRM merampas telefon bimbitnya, melemparkan telefon kepadanya, menggunakan kata-kata kesat terhadapnya, mengancam untuk menamparnya, menendang kerusi dan mematikan lampu semasa sesi soal jawab.
Saksi itu turut mendakwa dikelilingi pegawai lelaki, namun SPRM menafikan kejadian itu.
Selain Siti, ahli pemuda Bersatu Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin turut mendakwa dia dan seorang lagi ahli parti disoal siasat secara berasingan selama beberapa jam oleh SPRM.
Kedua-dua mereka membuat dakwaan itu dalam sidang media di Putrajaya semalam, selepas bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media sebelum itu mendakwa Perikatan Nasional (PN) menggunakan agensi penguat kuasa seperti SPRM untuk menekan pembangkang.
Dr Mahathir dalam sidang sebelumnya mahu perbuatan itu dihentikan serta mengancam akan mendedahkan semua salah laku dilakukan kerajaan sekiranya mereka tidak berhenti berbuat demikian.
Sementara itu, Wanita HARAPAN mengingatkan bahawa tiada tempat untuk budaya samseng dalam agensi kuat kuasa awam.
Mereka turut mahu cadangan daripada Laporan Suruhanjaya Tun Dzaiddin untuk Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bahawa ruang siasatan harus dilengkapi pengawasan video dilaksanakan.
“Ingat, SPRM juga mempunyai sejarah hitam yang tersendiri dan tidak akan pernah dilupakan oleh semua.
“Sekiranya amalan seperti itu diterapkan secara komprehensif oleh semua agensi penguatkuasa termasuk SPRM, mungkin kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbani dalam premis SPRM dapat dielakkan,” kata mereka merujuk kes kematian Teoh Beng Hock ketika hadir sebagai saksi SPRM di agensi berkenaan lebih sedekad lalu.
0 Comments