Sabah mula proses agih pakej rangsangan ekonomi negeri


KERAJAAN Negeri Sabah dilapor telah memulakan proses bagi menyalurkan pakej rangsangan ekonomi Covid-19 yang diumumkan Ketua Menteri baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedick berkata, senarai nama penerima telah dimuktamadkan dan baucar bayaran akan diproses dan disiapkan esok.

Dijangka lebih 150,000 rakyat di negeri itu bakal mendapat manfaat dari pakej tersebut tidak lama lagi.

"Baucar berkenaan akan dikemukakan kepada perbendaharan negeri dan wang dimasukkan ke dalam akaun penerima, katanya selepas satu  majlis taklimat di Kota Kinabalu hari ini.

Difahamkan, kira-kira  38,203 individu dalam senarai e-kasih, dengan 15,747 yang dikategorikan sebagai miskin tegar akan menerima bayaran sekali-bayar sebanyak RM500.

Sementara, 41,115 penerima yang tidak termasuk dalam senarai e-kasih, tetapi dikategorikan dalam kumpulan B40 akan menerima bantuan tunai sekali bayar RM300.

Turut akan menerima RM300 setiap seorang di bawah bantuan tunai B40 ialah 14,781 petani, 516 penternak, 7,592 nelayan, 38,892 pekebun kecil, 316 malim gunung dan 14,624 rakyat Sabah yang bekerja di semenanjung Malaysia.

Kerajaan negeri yang diketuai Warisan sebelum ini memperuntukkan RM20 juta sebagai bayaran tunai kepada golongan miskin tegar dan tambahan RM80 juta untuk pakej rangsangan B40 susulan penularan wabak koronavirus.

Post a Comment

0 Comments