KERAJAAN Itali dilapor memutuskan untuk melanjutkan lagi tempoh perintah berkurung di seluruh negara yang sepatutnya berakhir Jumaat ini, sekurang-kurangnya sehingga 12 April hadapan.
Menteri Kesihatannya, Roberto Speranza memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan selepas menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa saintifik di Rom baru-baru ini.
Memetik laporan Reuters, Speranza berkata pelanjutan perintah itu akan dicadangkan oleh kerajaan mengikut peruntukan undang-undang walaupun ada penurunan kes jangkitan baharu wabak koronavirus (Covid-19).
“Penilaian ini bertujuan melanjutkan semua langkah pengawalan wabak sekurang-kurangnya sehingga sambutan Easter,” katanya.
Itali antara negara yang paling teruk terjejas akibat penularan wabak itu apabila menyumbang kepada lebih daripada satu pertiga daripada jumlah kematian peringkat global.
Angka kematiannya terus meningkat kepada 11,591 orang sejak wabak itu menular di negara itu pada 21 Februari lalu. Persatuan doktor peringkat kebangsaan Itali turut memberitahu angka korban COVID-19 semakin membimbangkan dengan 11 kes baharu kematian doktor, menjadikan angka keseluruhan petugas kesihatan yang terkorban kepada 61 orang
Warga Itali sudah menjalani perintah berkurung selama tiga minggu dengan hampir semua kedai, bar, restoran ditutup dengan penduduk tidak dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing, melainkan bagi urusan penting.
Sementara itu, New Zealand dilapor turut mengambil langkah serupa.
Menteri Pertahanan Awam, Peeni Henare memaklumkan perintah berkurung dilanjurkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
“Pelanjutan tempoh darurat ini antaranya bagi memastikan kita mempunyai semua sumber, sokongan dan kuasa yang diperlukan bagi membasmi penularan wabak Covid-19 ini, dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Perintah tersebut dikuatkuasakan selama sebulan di New Zealand sejak 26 Mac lalu.
0 Comments