Pulau Pinang sambut baik pengumuman tukar PM



KERAJAAN
Pulau Pinang diketuai Chow Kon Yeow merupakan pentadbiran negeri pertama menyambut kenyataan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pembentukan kerajaan baharu.

Dipetik laporan portal rasmi kerajaan negeri, Buletin Mutiara,  Chow berkata  beliau menyokong pengumuman tersebut memandangkan rakyat memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil untuk menghadapi krisis ekonomi serta kesihatan ketika ini.

“Saya harap Anwar dapat membentuk kerajaan yang boleh membawa negara ke arah kerajaan kuat yang lazimnya dapat mengatasi krisis pandamik COVID-19, memulihkan sosioekonomi serta kesihatan rakyat di negara ini,” katanya.

Chow berkata begitu pada sidang media yang diadakan di  Komtar.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin.

Semalam, Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) memaklumkan telah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau memaklumkan akan mengadakan pertemuan bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat. 

Pulau Pinang sambut baik pengumuman
Ketika ditanya sama ada beliau dilibatkan dalam perbincangan yang membawa kepada pengumuman tersebut, Kon Yeow menyatakan bahawa beliau hanya mengetahui perkara itu melalui laporan media.
 
“Memandangkan Anwar tidak mengumumkan jumlah sokongan yang diterima dan masih belum menghadap Yang di-Pertuan Agong, maka lebih baik kita tunggu dulu buat masa sekarang,” katanya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang.