Nor Aqilah sudah sedar diri, kini stabil


MANGSA terselamat dalam kejadian keracunan gas karbon monoksida dalam sebuah kereta di Butterworth minggu lalu telah sedar dari koma.

Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, yang di rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur turut dilapor sudah boleh mengangguk kepala sebagai tanda mengenali ahli keluarga yang datang melawatnya.
 
Perkembangan itu disahkan  Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad melalui laporan oleh Sinar.

"Alhamdulillah, adik Aqilah sudah sedar daripada koma dan mengangguk kepala tanda kenal ahli keluarga yang datang melawat dia," katanya dipetik.

Difahamkan, Nor Aqilah stabil dan masih dalam pemantauan rapi oleh sepasukan pakar perubatan di hospital tersebut.

Dalam kejadian minggu lalu, tiga daripada empat pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves maut dipercayai akibat keracunan karbon monoksida.

Kesemua mereka termasuk Nor Aqilah tertidur semasa berehat di dalam kereta dengan cermin tingkap tertutup setelah berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth selepas pulang dari Pulau Jerejak di Bayan Baru di sini.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Nor Aqilah kini stabil
Empat sahabat itu ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta tersebut dengan keadaan enjin masih hidup oleh bapa seorang mangsa, Ayuni Shazwani Shabri kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 17 September lalu.

Dalam kejadian itu, kembar kepada Nor Aqilah, Nor Adilah Mohd Safwan  pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada jam 4.23 petang Khamis lalu.

Sahabat mereka Sharifah Fariesha Syed Fathi turut terkorban dalam kejadian itu. 

Post a Comment

0 Comments