Laporan: Ahli Parlimen KEADILAN M'sia Timur diarah ke Kuala Lumpur


AKHBAR berbahasa Cina, Sin Chew Daily dilapor berkata, Ahli Parlimen KEADILAN di Malaysia Timur mendapat arahan untuk bertolak ke Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu yang dipetik portal FMT, mereka diarahkan ke ibu negara bagi membuat “untuk membuat persiapan”.

Walaupun tidak menyebut persiapan mengenai apa, ia dipercayai ada kaitan dengan ura-ura bahawa Istana Negara telah membenarkan Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Di Malaysia Timur, parti itu mempunyai empat Ahli Parlimen, iaitu masing-masing dua di Sarawak dan dua Sabah.

Mereka ialah Larry Sng (Julau) dan Michael Teo Yu Keng (Miri), serta Awang Husaini Sahari (Putatan) dan Christina Liew Chin Jin (Tawau) di Sabah.

Menurut laporan itu, Sng sudah berada di Kuala Lumpur manakala Teo sudah diarah berbuat demikian pagi tadi.

Sng ketika ditanya pemberita enggan mengulas perjalanan itu, manakala Teo pula sudah memasukkan pakaian rasmi ahli Parlimen dan songkok dalam bagasinya.
 
Anwar dakwa dapat sokongan kukuh
Anwar sebelum ini mendakwa mendapat sokongan “kukuh” dan “meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.

Beliau turut memaklumkan telah diperkenan mengadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa namun ditangguhkan ekoran Yang di-Pertuan Agong mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Post a Comment

0 Comments