Saifuddin yakin rakyat tak pilih PN


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin dianggap tidak mempunyai kekuatan sendiri untuk terus bertahan.

Pandangan itu disuarakan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Jelasnya, walaupun pentadbiran Muhyiddin itu dilihat seolah-olah disenangi rakyat, namun Perikatan Nasional yang diasaskan dari 'Langkah Sheraton' itu dilihat tidak akan mampu kekal sekiranya Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut diadakan.

"PN mempunyai rekod menjadi kerajaan tidak melalui suara dan mandat rakyat. Bagaimanapun pemimpin PN cuba bagi justifikasi, dalam kepala rakyat, sudah terpahat ini adalah rampasan kuasa," katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menegaskan bahawa PN bukan keutamaan parti yang bersekutu dalam pentadbiran Muhyiddin itu terutama Umno yang merupakan musuh parti Muhyiddin pada PRU lalu.

Ia jelasnya dapat dilihat dari kenyataan beberapa pemimpin Umno sendiri yang menegaskan mereka lebih mengutamakan kerjasama dengan PAS dalam Perikatan Nasional.

"Sokongan ini adalah sehingga PRU akan datang. 'Keutamaan kami adalah Muafakat Nasional'- Ini bukan sokongan parti Umno kepada Muhyidin".

"Kerana itu, kita tengok Muhyidin berusaha bersungguh untuk kekalkan sokongan, dengan membuat lantikan-lantikan (dalam GLC), dengan harapan MP-MP ini akan terus sokong beliau," jelasnya.

Selain itu menurutnya, PN juga merupakan gabungan politik tidak jelas apabila tidak memiliki struktur dan manifesto seperti HARAPAN. 

PN jelas Saifuddin hanya bermodalkan persepsi berjaya menangani Covid-19 yang "secara relatifnya baik".

"Tapi seperti yang disebut ketua pengarah kesihatan, kementerian telah bermula dengan polisi dan perancangan baik yang telah dimulakan oleh HARAPAN dan pasukan beliau telah dapat melakukan dengan cemerlang," katanya.

Post a Comment

0 Comments