Mimpi Mahathir jadi PM dianggap telah terkubur


AHLI Politik tertua di Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad perlu melupakan cita-citanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, pada pandangannya Mahathir tidak mempunyai pilihan selain memberi laluan kepada Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim untuk dipilih sebagai calon perdana menteri kesembilan.

“Tidak ada pilihan bagi Dr Mahathir selain lupakan cita-cita untuk menjawat perdana menteri kali ketiga.

“Mahathir perlu ada keutamaan sama ada mahu tumbangkan Perikatan Nasional (PN) atau mahu jadi perdana menteri kerana kedua-dua kemahuan ini tidak boleh dicapai serentak buat masa kini,” kata dipetik Malaysiakini.

Tambah Azmi lagi, Dr Mahathir juga wajar menyedari bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk menolak parti pimpinan Anwar dari gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Sebenarnya keputusan tidak terletak di tangan Mahathir tapi sebenarnya terletak pada KEADILAN dan juga HARAPAN,” katanya mengulas kenyataan Mahathir sebelum ini yang berkata beliau hanya berminat meneruskan kerjasama bersama DAP dan Amanah.

Sementara itu, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari  Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, beliau tidak melihat kerjasama dalam HARAPAN Plus dapat dicapai tanpa Mahathir berkompromi dengan Anwar.

Malah Mod Azizuddin berkata, pada pengamatannya sokongan rakyat terhadap Ahli Parlimen Langkawi itu juga sudah semakin berkurangan.

Pandangan kedua-dua mereka disambut Prof Ulung Shamsul Amri Baharuddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dalam kalangan penyokong HARAPAN, Mahathir jelasnya tidak mempunyai bilangan penyokong setia dalam kalangan pemimpin berbanding Anwar.

Situasi itu menyebabkan Mahathir sudah tiada pilihan kecuali mengikut rentak Anwar.

“Mahathir hanya boleh menggertak saja. Mimpi dia nak jadi perdana menteri kesembilan tamat dan terkubur,” katanya.

Post a Comment

0 Comments