KERAJAAN Persekutuan tidak teragak-agak mengisytiharkan keadaan darurat sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi tahap 500, iaitu keadaan sangat bahaya.
Timbalan Perdana menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedang meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani masalah jerebu yang semakin teruk.
“Berdasarkan maklumat Laporan Terkini Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia sehingga 14 September 2019, seluas 328,724 hektar kawasan telah terjejas dengan kebakaran hutan di seluruh Indonesia,” katanya dalam satu program di Mukah, Sarawak.
Tambah Wan Azizah, ketika ini kerajaan sedang mempelbagaikan usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka untuk mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.
Sementara itu, keadaaan jerebu di negara ini dilapor bertambah teruk. Kesemua 25 sekolah di Putrajaya ditutup hari ini susulan IPU yang memasuki tahap sangat tidak sihat pagi ini.
Manakala di 214 buah sekolah di Selangor dan 288 buah sekolah di Perak turut ditutup pagi ini bagi melindungi kesihatan pelajar.
Kabinet dijangka membincangkan isu berkaitan masalah jerebu dalam mesyuarat yang akan diadakan hari ini.
Katanya Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dijangka membentangkan hasil laporan terkini bagi mewujudkan pelan jangka panjang bagi menangani isu jerebu rentas sempadan yang berlarutan ini.
Sebagai rekod, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.