MAHKAMAH TINGGI menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil Adly Zahari untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri Nelaka untuk membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Hakim Noorin Badaruddin berkata keputusan yang dibuat oleh Dipertua Negeri, Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN itu tidak boleh dicabar di mahkamah.
“Pembubaran badan perundangan tidak boleh dipertikai dan oleh itu tidak boleh dikenakan semakan kehakiman,” katanya sambil menambah bahawa Perlembagaan Negeri Melaka membenarkan Ketua Menteri yang tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada ADUN untuk membuat permintaan kepada Yang Dipertua Negeri bagi pembubaran DUN.
“Mahkamah mendapati sejak awal lagi tidak timbul persoalan mengenai nasihat yang diberikan oleh Sulaiman kepada Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan badan perundangan.
“Terdapat permintaan yang dibuat dan Yang Dipertua Negeri boleh mengambil langkah mengikut Perkara 7(4) perlembagaan.
“Namun Yang Dipertua Negeri telah menggunakan kuasanya di bawah Perkara 19(2) perlembagaan. Ini adalah proses yang dilakukan Yang Dipertua Negeri,” katanya.
Pada 22 Okt, Adly yang juga Ketua Menteri Melaka di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) mendakwa Sulaiman hanya memperolehi sokongan daripada 11 ADUN selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap beliau dan HARAPAN mempunyai 13 daripada 28 kerusi DUN.
Beliau memohon deklarasi pembubaran oleh Yang Dipertua Negeri pada 4 Okt itu dibatalkan serta merta kerana pemberitahuan warta yang dibuat pada hari berikutnya adalah terbatal dan tidak sah atas dasar ia dilakukan tanpa pengetahuan Yang Dipertua Negeri.
Sementara itu, Adly melalui satu kenyataan berkata, HARAPAN Melaka akur dengan keputusan Mahkamah yang menolak permohonan semakan kehakiman tersebut.
Adly terima keputusan Mahkamah |
"Sehubungan itu, peluang terakhir rakyat Melaka adalah melalui PRN yang akan berlangsung pada 20 Nov 2021.
"Saya merayu kepada semua rakyat untuk turun mengundi bagi memastikan demokrasi dan hak rakyat dalam menentukan kepimpinan negeri ini terus terpelihara," katanya.
0 Comments