CALON bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Katil, Adly Zahari dinamakan sebagai Ketua Menteri Melaka, sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya mengembalikan semula mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dilangsungkan bulan ini.
Perkara itu diumum Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim siang tadi selepas ia dipersetujui semua rakan gabungan berkenaan.
“Kita telah tonjol pemimpin yang pernah pimpin kerajaan HARAPAN di Melaka 22 bulan sebelum ini
“…dengan itu muafakat dan konsensus ialah meneruskan komitmen sama dengan menamakan saudara Adly sebagai calon Ketua Menteri HARAPAN kalau kita menang,” katanya ketika ucaptama sempena pelancaran Pelan Tindakan Maju Bersama HARAPAN.
Turut hadir pada pelancaran itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Adly.
Adly yang merupakan penyandang DUN Bukit Katil bakal berdepan pertandingan empat penjuru pada PRN ini.
Bekas Ketua Negeri itu akan
ditentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnoor Sdg Husin; calon Bebas, Abdul Hamid Mustapah dan Muhammad Al Afiz Yahya (Perikatan Nasional).
Sebelum ini, seorang Koordinator Penyelidik REFSA, Fakhrurrazi Rashid dipetik laporan Awani sebagai berkata, nama Adly adalah lebih menonjol sebagai calon Ketua Menteri dari parti lain.
Malah jelasnya, bukan sahaja Adly, namun keseluruhan calon dari gabungan itu nampak lebih menonjol dari calon parti lain,
“Yang paling menonjol antara ketiga-tiga parti itu sekarang adalah Adly Zahari itu sendiri. Kalau kita lihat, calon Ketua Menteri daripada HARAPAN ini, bukan Adly sahaja ditonjolkan tapi pasukan kepimpinan muda dalam PH itu juga ditonjolkan," katanya dipetik.
Sementara itu dalam ucapannya Anwar berkata pemimpin HARAPAN bersependapat bahawa sebarang usaha untuk mengembalikan mandat rakyat harus didukung bersama.
“HARAPAN meletakkan keseluruhan calon 28 kerusi dan kita akan kerja dalam satu pasukan untuk pastikan kemenangan 28 calon,” katanya.
Sementara itu Guan Eng dalam ucapannya berkata hanya HARAPAN mampu mentadbir dengan baik berbanding Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana kedua-dua parti itu telah gagal menguruskan Covid-19 dan ekonomi negara.
Adly akan pimpin Melaka jika HARAPAN menang |
Sebagai rekod, BN dan PN adalah rakan kerjasama dalam kerajaan persekutuan, namun gagal mencapai persefahaman sehingga memaksa mereka bertanding sesama sendiri dalam PRN kali ini.
0 Comments