PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) melancarkan Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan, khusus bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pada majlis pelancarannya semalam, Pengerusi HARAPAN Melaka, Adlu Zahari berkata, pelan tindakan itu mengandungi tiga teras utama iaitu Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil.
Di bawah teras tersebut jelasnya, enam strategi dan 32 inisiatif yang merangkumi pengurusan Covid-19, kesejahteraan dan kehidupan rakyat, peluang pekerjaan, pelaburan ekonomi dan pentadbiran yang telus turut telah digariskan sebagai panduan menjayakan matlamat membangun semula negeri itu.
"Antara persoalan paling penting dalam kita mendepani isu-isu kesihatan, ekonomi dan kestabilan, maka pelaksanaan teras ini ditulis sebagai pelan tindakan kerana selepas daripada mandat diperolehi diberikan rakyat..
“.. tugas utama kepimpinan Pakatan Harapan di peringkat Melaka, bertindak memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan politik negeri ini dapat kita jayakan," katanya.
Bagi teras Melaka Sejahtera, HARAPAN Melaka telah merangka inisiatif bersepadu yang merangkumi aspek kesihatan fizikal dan mental serta kesejahteraan rakyat dalam bangkit dari cengkaman Covid-19.
Di bawah teras tersebut, beberapa inisiatif kesihatan telah direncana termasuk:
1) Dana Khas Covid-19 Melaka: Membiayai program pemulihan termasuk FTTIS+V dan kit ujian saringan percuma kepada industri serta kumpulan berisiko tinggi.
2) Dana Ihsan Covid-19: Bantuan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid-19.
3) Kad Melaka Sihat: Manfaat RM300 setahun kepada keluarga B50 yang layak untuk dapatkan rawatan di klinik swasta.
4) First Support Point Keganasan Rumahtangga: Berpusat di JAPERUN untuk membantu mangsa keganasan rumah tangga.
Sementara itu, di bawah teras sama, beberapa inisiatif kesejahteraan rakyat dirancang iaitu:
1) Skim HARAPAN Rakyat Melaka: Berbentuk bantuan tunai one-off atau tahunan kepada rakyat Melaka dari pelbagai peringkat umur termasuk kanak-kanak, pelajar, warga emas, ibu dan bapa tunggal serta caruman PERKESO percuma.
2) Skim Bakul Makanan Harapan: Bantuan makanan asas kepada golongan B50 yang layak.
3) Skim Perumahan Rakyat Melaka (Mel-Home): Skim rumah percuma, skim rumah sewa murah dan skim rumah harapan.
4) Dana Ihsan Bencana: Bantuan bencana untuk mangsa banjir, ribut dan lain-lain bencana.
5) Melaka Digital : Bantuan berupa pakej wireless modem dan prepaid SIM, latihan dan bimbingan ekonomi digital percuma, sokongan perniagaan digital marketing, dan pembangunan bakat baru pemain E-sport.
6) Pengecualian Cukai Tanah Pertanian di bawah dua ekar untuk dua tahun.
Di bawah teras dua iaitu Melaka Makmur pula, Adly berkata, HARAPAN akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan, di bawah Skim Peluang Pekerjaan Rakyat (SPPR).
Selain itu terdapat dana pemulihan sektor pelancongan untuk memulihkan sektor utama negeri itu dengan diskaun bayaran lesen perniagaan dan Skim Mikrokredit Harapan sehingga RM5,000 untuk usahawan dan usahawanita.
Di bawah teras Melaka Stabil pula, Adly berkata, gabungan akan melaksanakan reformasi pentadbiran bagi menjamin kerajaan melaka yang stabil, adil, telus dan berintegriti.
Tawaran menyeluruh untuk rakyat Melaka |
“Mewajibkan setiap ADUN membuat pengisytiharan harta. Menjadikan amalan tender terbuka sebagai teras proses perolehan negeri dan menggubal enakmen anti lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan,” kata Adly lagi.
0 Comments