Farzana: Usia bukan halangan tabur bakti

 


FARZANA HAYANI Mohd Nasir yang merupakan calon termuda dipertaruhkan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak melihat faktor usia sebagai halangan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Mahasiswa berusia 21 tahun dan mesra disapa Nana itu berkata dia sudah bersedia dan ikhlas untuk mencurah khidmat kepada warga Melaka terutama kepada masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.

"Sejujurnya saya tidak pernah terfikir akan dipilih menjadi calon untuk bertanding, namun telah sangat-sangat ready (bersedia) untuk membantu rakyat dan masyarakat di negeri Melaka," katanya.

Nana dipetik berkata begitu pada rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Diberi kepercayaan sebagai Ketua Srikandi Keadilan Melaka, bakat kepimpinan Nana sememangnya sukar dipertikaikan.

Sementara itu penuntut Ijazah Sarjana Muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan juga lulusan Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, universiti sama itu menegaskan antara isu yang akan beliau diberi perhatian serius jika menjadi wakil rakyat ialah meningkatkan capaian Internet di seluruh negeri Melaka.

Ia sebagai satu usaha memudahkan pendidikan dan menggalakkan rakyat negeri itu menceburi bidang keusahawanan secara dalam talian.

"Sebagai mahasiswi saya sangat pentingkan rangkaian Internet kerana pengalaman sebagai pelajar di rumah, ia sangat penting untuk keluarga yang mempunyai anak-anak bersekolah terutama di kawasan Sungai Rambai," katanya.

Bakat kepimpinan Nana sukar dipertikai
Berdasarkan pengalamannya, Nana mengakui gangguan Internet menyukarkan pelajar yang sedang mengulang kaji pelajaran.

Pada 20 Nov ini Nana akan berdepan saingan empat penjuru dengan Muhammad Jefri Safry (Perikatan Nasional), Siti Faizah Abdul Azis (Barisan Nasional) dan Nazatul Asyraf Md Dom (Putra).

Post a Comment

0 Comments