HARAPAN tak pernah lulus cadangan tukar kereta rasmi menteri


BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan kenyataan kononnya keputusan menggantikan Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi Menteri Persekutuan dipertimbangkan semasa pentadbiran terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan tahun ini.

Melalui satu kenyataan, Guan Eng menegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah meluluskan pertukaran Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

Tegasnya, selaras dengan prinsip perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah, ketika itu menteri hanya menggunakan Proton Perdana, bukan seperti sekarang yang memakai Toyota Vellfire 2.5 yang lebih mewah.

"Kerajaan PH tidak meluluskan malah tidak pernah mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi menteri-menteri persekutuan daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

"Ini berlawanan dengan kenyataan Kementerian Kewangan baru-baru ini bahawa cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran Kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini," katanya .

Pada Ahad, Kementerian Kewangan dalam yang merasionalkan penukaran itu berkata, antara faktor pertukaran KRJ adalah kos sewaan bulanan Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Perdana 2.4 Premium.

Kos sewaan sebulan Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 pula RM4,851.61 iaitu penjimatan RM2.80.

Bagaimanapun, Lim berkata, kadar kos pajakan Toyota Vellfire yang lebih rendah daripada Proton Perdana 2.4 tidak masuk akal dan tidak munasabah.

Ia berdasarkan kenyataan Presiden Persatuan Kereta Sewa Malaysia, Farouk Fernandez.

K'jaan HARAPAN kekalkan kereta nasional
“Farouk menegaskan bahawa ia tidak masuk akal kerana gagal mengambil kira kenderaan dijual pada harga berbeza kepada kerajaan berbanding entiti swasta kerana kerajaan boleh menjimatkan kos melalui pengecualian duti dan cukai,” katanya.

BACA: Ada yang 'tak kena' dengan alasan k'jaan

Justeru, Lim mendesak Kementerian Kewangan menjelaskan sama ada pertukaran KRJ itu diadakan secara tender terbuka dan syarikat yang menguruskan penyewaan terbaru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan.

“Adakah kenderaan jenama lain yang lebih murah dan sepadan dengan kelengkapan kereta Proton Perdana 2.4 Premium dipertimbangkan selain daripada memastikan keutamaan diberikan kepada kereta buatan Malaysia?

“Demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan, Kementerian Kewangan perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada tender terbuka dilaksanakan dan syarikat manakah yang menguruskan penyewaan baru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan,” tegasnya lagi.


Sebagai rekod, pada Januari 2020, Guan Eng yang ketika itu menteri kewangan berkata kerajaan berhasrat untuk kekal menggunakan Proton Perdana tetapi syarikat yang membekal kereta kepada kerajaan  tidak memiliki model itu kerana ia sudah tiada di pasaran.

Justeru, Toyota Vellfire ditawarkan sebagai alternatif.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya mengumumkan kerajaan akan kekal menggunakan Proton Perdana selepas syarikat yang dilantik untuk membekalkan kenderaan  kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan mengesahkan bahawa terdapat bekalan kereta Perdana yang mencukupi.

Post a Comment

0 Comments