BEKAS Ketua Menteri Melaka menggesa media memberi ruang sewajarnya kepada semua 28 calon Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Gesaan itu disuarakan Adly Zahari susulan pilihan raya itu tidak membenarkan parti bertanding mengadakan sebarang kempen secara bersemuka termasuk kempen dari rumah ke rumah.
“Larangan kempen rumah ke rumah, perhimpunan PRN yang selalunya jadi medium utama mungkin menjadi halangan utama untuk kita.
“Media terutama media arus perdana boleh memainkan peranan penting dengan memberi ruang kepada calon sampaikan mesej masing-masing.
“Bila rakyat mahu buat keputusan, maklumat dan juga penerangan dan hala tuju setiap calon harus diberi ruang sewajarnya,” katanya dipetik satu sidang media.
Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh mengumumkan bahawa penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal adalah tidak dibenarkan sepanjang PRN Melaka.
Turut dilarang semasa PRN Melaka adalah kempen ziarah rumah ke rumah, aktiviti tinjauan mesra (walkabout) dan pengedaran risalah kepada orang awam secara bersemuka.
Sebelum SPR mengumumkan SOP pilihan raya di Melaka, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut mengumumkan larangan hampir sama menjelang PRN Melaka.
Pengumuman itu mendapat kritikan keras banyak pihak. NGO Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) melabelkan larangan itu sebagai 'menghakis demokrasi'
Manakala seorang penganalisis politik, Prof Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya menyatakan kebimbangan bahawa larangan yang akan menamatkan kebanyakan bentuk kempen fizikal atau bersemuka bertentangan dengan semangat demokrasi dan pilihan raya yang sebenar.
Beri ruang adil kepada calon di media |
Sementara itu ketika mengulas kekangan kempen pada PRN ini, Adly menegaskan bahawa HARAPAN akan mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan sesi penerangan secara mobil sebagai penghubung antara calon dan pengundi sepanjang kempen pilihan raya itu nanti.
0 Comments