SEBUAH pertubuhan Orang Asli mendakwa aktiviti pembalakan di kawasan pertikaiaan di Perak yang dihentikan sebelum ini telah beroperasi semula.
Pusat Prihatin Orang Asli (COAC) dalam satu kenyataan yang dipetik media mendedahkan bahawa aktiviti itu telah bermula di sekurang-kurangnya dua kawasan perkampungan masyarakat tersebut setelah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun lalu.
“Di Kampung Sungai Papan, Gerik-Perak pembalak sudah mula menggerakan jentolak bagi mempersiapkan jalan pembalakan di kawasan konsesi mereka beberapa kilometer di kawasan pedalaman.
“Ia di kawasan sama setelah (Orang Asli) Temiar melakukan sekatan tahun lalu yang kemudian Menteri Besar Perak (Ahmad Faizal Azumu) akhirnya menggesa untuk menghentikan (pembalakan di kawasan tersebut) pada Ogos 2019,” kata COAC.
Mereka turut menyifatkan pemberhentian kerja-kerja pembalakan sebelum ini tidak lebih sekadar penangguhan sementara.
Pemberhentian bagi aktiviti pembalakan itu dilapor dipersetujui Ahmad Faizal pada 1 Ogos tahun lalu setelah kritikan mengenai aktiviti itu diutarakan.
Bekas Menteri Besar di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) itu membuat ketetapan tersebut susulan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P WaythaMoorthy dan peguam negara pada ketika itu Tommy Thomas.
Memetik laporan media, Ahmad Faizal sebelumnya dikritik kerana enggan mengiktiraf tanah adat Orang Asli di kawasan terbabit dan mempertahankan aktiviti pembalakan yang diberi kebenaran oleh kerajaan negerinya.
Untuk rekod, ketika ini, Ahmad Faizal masih menyandang jawatan yang sama namun di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).
COAC turut menyifatkan bahawa bukan cuma kawasan tersebut yang telah bermula aktiviti pembalakan setelah kawalan sekatan PKPP dilaksanakan.
“Di Lojing-Gua Musang jalan di Kelantan, Temiar di Kampung Kelaik, Pos Brooke juga mula kelihatan jentolak.
“Mereka (pembalak) datang untuk kayu balak dan untuk menanam durian Musang King. Nampaknya, kembali kepada norma lama buat Orang Asli,” kata COAC lagi.
0 Comments