DAP, Amanah wajar sokong Anwar, bukan Tun M


PARTI Amanah dan DAP disaran berhenti dari terus mempromosikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Gesaan itu disuarakan seorang ahli akademik dan penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan.

Memetik laporan FMT, Azmi berkata langkah itu wajar setelah Mahathir menolak kerjasama dengan presiden KEADILAN yang juga pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih wajar HARAPAN menyebelahi Anwar dan teruskan hidup,” katanya.

Mahathir dalam temubual dengan Sin Chew Daily baru-baru ini menolak cadangan beliau dilantik menteri mentor sekiranya HARAPAN kembali membentuk kerajaan.

Bekas perdana menteri yang kini mencecah usia satu abad itu dilihat masih enggan memberi ruang kepada Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri meskipun HARAPAN sebelum ini telah memutuskan Ahli Parlimen Port Dickson itu sebagai calon pertama mewakili mereka.

Mahathir baru-baru ini membuat kenyataan tidak mahu bekerjasama dengan KEADILAN, namun masih mahu meneruskan perbincangan dengan Amanah dan DAP.

Bagaimanapun, Azmi melihat Mahathir sebenarnya masih memerlukan sokongan parti diketuai Anwar sekiranya masih mahu menumbangkan Perikatan Nasional (PN) memandangkan parti itu mempunyai bilangan Ahli Parlimen teramai dalam gabungan berkenaan.

“KEADILAN ada lebih banyak bilangan ahli Parlimen berbanding Mahathir, yang hanya ada 4 bekas ahli Parlimen PPBM dan Warisan.”

“Tanpa Anwar, mustahil untuk dapat bilangan secukupnya untuk kalahkan kerajaan Perikatan Nasional,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments