Aziz Bari dakwa MB Perak manipulasi mesyuarat


KETUA Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari mendakwa Ahmad Faizal Azumu pernah "memanipulasi" mesyuarat Exco untuk kelulusan sesuatu perkara.

Dakwaan itu susulan kenyataan bekas Adun Amanah, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang menjawab isu pemberian kontrak pengurusan sisa pepejal tanpa melalui tender terbuka yang didedahkan Aziz semalam. 

Dalam kenyataannya, Aziz mengakui walaupun terlibat dalam mesyuarat atas kapasitinya sebagai exco didakwa Hasnul, namun Adun Titi Serong itu yang mengumumkan menyokong Perikatan Nasional (PN) pada Mac lalu itu tidak memberi butiran lengkap mengenai mesyuarat yang didakwa dihadirinya itu.

"Hasnul tidak menyatakan dengan jelas mesyuarat yang mana yang saya terlibat secara aktif dan positif dalam menyokong keputusan yang sekarang kelihatan sebagai suatu skandal itu.

"Saya suka menjelaskan bahawa dalam beberapa perkara beliau (Faizal) memanipulasikan kedudukan anggota exco, termasuk mendakwa sesi taklimat sebagai pengesahan dan penerimaan sedangkan tidak ada perbincangan atau kata putus dicapai," katanya.

Aziz sementara itu turut mendakwa keputusan untuk melantik dan menamakan entiti tertentu tidak pernah dilakukan secara kolektif oleh exco.

"Maka saya ingin mengingatkan Faizal agar tidak mengheret autoriti umum Exco apabila beliau tersepit," tegas Adun Tebing Tinggi itu.

Semalam Aziz mahu Faizal menjelaskan rasional menganugerahkan kontrak kepada syarikat swasta Mainiza Teknitek Recowaste Sdn Bhd (MTR), dalam satu usaha sama pengurusan sisa pepejal dengan Majuperak Holdings Berhad (MHB).

Penganugerahan kontrak kepada dua syarikat itu dianggap sebagai mengejut, tidak telus dan dibimbangi menyebabkan kenaikan harga atau caj perkhidmatan yang akan membebankan rakyat.

Dilihat bersifat monopoli, beliau turut mempersoal peranan bekas setiausaha politik Faizal, Nizran Noordin yang dakwanya berada dalam lembaga Majuperak.

Dalam pada itu, Aziz mendakwa Faizal telah membelakangkan manifesto HARAPAN dalam beberapa isu, termasuk dalam soal pemberian tender terbuka.

"Secara umum apa yang berlaku ialah Faizal enggan melaksanakan manifesto. Beliau secara lisan memberi justifikasi mengapa penyimpangan perlu tetapi apabila ia dilaksanakan, justifikasi lisan itu tidak dibuat," kata pakar perlembagaan itu lagi.

Post a Comment

0 Comments