PAKEJ rangsangan ekonomi diumumkan pentadbiran Muhyiddin dilihat gagal menangani isu utama dalam mengekalkan pekerjaan.
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) berkata, pakej rangsangan itu tidak memenuhi keperluan syarikat pelancongan, khasnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presidennya, Tan Kok Liang dalam kenyataan berkata, kegagalan itu kelak akan menyaksikan banyak syarikat terpaksa memberhentikan kakitangannya dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Pakej yang diumumkan kerajaan itu tidak menangani keperluan asas perniagaan dan akan menyebabkan syarikat terpaksa memberhentikan pekerja untuk kekal dalam perniagaan.”
“Apa yang akan berlaku selepas bantuan selesai diberikan menjelang Mei dan pekerja mendapati mereka kehilangan kerja kerana syarikat gulung tikar?” katanya.
Tambah Tan, industri pelancongan yang mempunyai 3.5 juta pekerja, mengalami kemerosotan hasil sebanyak 90% bulan ini.
Matta menganggarkan perniagaan dalam industri itu rugi sepenuhnya bagi 3 bulan mendatang dengan kemungkinan pekerja dalam sektor itu dikurangkan antara 70% hingga 90% dalam beberapa bulan lagi.
Beliau berkata, walaupun majikan dan pekerja sanggup bertolak ansur untuk mengekalkan pekerja, pentadbiran Muhyiddin bagaimanapun “menjadikannya agak sukar bagi semua orang”.
“Pekerja boleh menikmati sedikit kelegaan pada April dan sebahagiannya pada Mei, tetapi selepas itu, dengan prospek pengurangan tenaga kerja, mereka pada dasarnya perlu berdepan kesan itu sendiri.” tambahnya.
0 Comments