MALAYSIA dipilih untuk menjadi negara kajian keberkesanan ubat merawat pesakit koronavirus (Covid-19) dikenali sebagai Remdesivir.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih Malaysia untuk ujian Remdesivir berikutan keupayaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam jalankan kajian klinikal.
“Selain Malaysia, ada beberapa negara lain turut dipilih bagi menjalankan kajian berkenaan. Malaysia dipilih kerana kita mempunyai keupayaan menjalankan kajian serta kita memang sudah mempunyai platform berkenaan.
“Selain itu, kita turut mempunyai sistem kesihatan dan pendidikan yang baik. Di Malaysia, penyelidikan akan dibuat di Hospital Sungai Buloh serta hospital yang merawat pesakit COVID-19. Buat masa ini kita masih mengumpul data mengenai ubat baharu ini.
“KKM mungkin akan dimasukkan dalam satu tempat bagi mengumpul data dan memberi rawatan kepada pesakit dengan menggunakan ubat baharu berkenaan,” katanya dipetik.
Jelasnya, pihak kementerian juga berharap kerjasama tersebut dapat dilaksana secepat mungkin, dan KKM jelasnya akan membincangkan perkara itu secara segera dengan WHO.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat pada Febuari lalu mengesahkan doktor di Wuhan, China, sudah mula menguji ubat yang masih di peringkat percubaan, Remdesivir, terhadap pesakit coronavirus. Ubat itu yang dihasilkan Gilead Sciences, dikatakan berjaya merawat pesakit pertama di AS yang dijangkiti COVID-19.
Laporan Akhbar The Washington Post berkata, walaupun Remdesivir gagal dalam ujian klinikal jangkitan Ebola, ia menunjukkan hasil menggalakkan dalam ujian makmal terhadap jangkitan coronavirus lain termasuk Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).
0 Comments