Khairul Idham dapat 'lampu hijau' beraksi di Jerez


PELUMBA
Petronas Yamaha SRT dalam kelas Moto3, Khairul Idham Pawi  telah mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan untuk beraksi di Jerez, Sepanyol.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, berita gembira tersebut telah dimaklumkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun pihaknya perlu menunggu surat rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu.

“Kelulusan diberikan kepada pelumba Petronas Yamaha SRT dari Malaysia dan juga pelumba negara dari pasukan lain, yang terlibat dengan kejohanan dunia di Jerez itu.

“Namun, kami masih menunggu surat rasmi daripada KBS, yang sudah pasti akan dimaklumkan sekali mengenai syarat yang ditetapkan oleh pihak KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dipetik Bernama.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 dijadualkan kembali selepas ditangguhkan susulan pendemik Covid-19.

13 pusingan perlumbaan di Eropah dijadualkan antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan dua minggu di Jerez, iaitu pada 19 dan 26 Julai.

Sementara itu ketika mengulas persediaan pasukannya, Razlan berkata semua pelumba masing-masing telah meneruskan latihan di negara masing-masing.

“Untuk pelumba yang ada di Malaysia seperti Khairul Idham, beliau berlatih menggunakan jentera latihan di Litar Sepang, manakala bagi pelumba MotoGP (Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo) turut berlatih di negara mereka,” jelas Razlan.