Hannah Yeoh nafi fitnah dan menghasut


HANNAH YEOH
  menafikan ada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah  dan hasutan berkaitan perkahwinan bawah umur di laman sosial Facebooknya.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman hari ini untuk dirakam keterangan.

"Ini satu fitnah dan kenyataan palsu dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab malah saya memberi kerjasama menyerahkan nama pengguna dan kata laluan akaun Facebook serta telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya ketika ditemui di luar Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan.

Ahli Parlimen Segambut itu ditemani dua peguamnya Gobind Singh Deo dan Syahredzan Johan dan tiba di Bukit Aman kira-kira jam 10 pagi.

Beliau sebelum ini
mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur di bawah timbalan menteri sekarang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Kenyataan itu dianggap mempunyai kecenderungan menghasut dan boleh mencetuskan suasana yang tidak harmoni dan polis memulakan siasatan mengenainya pada 11 Mac lalu.

Sementara itu, Gobind Singh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Harap polis dapat menjalankan siasatan secepat mungkin dan kita juga tidak ada masalah menyerahkan telefon bimbit Hannah untuk tujuan membantu siasatan," katanya.

Post a Comment

0 Comments