PUTRAJAYA digesa menangguhkan pembukaan prasekolah dan tadika yang dijadual bermula 1 Julai ini.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Aminudin Awang berkata, pihaknya mendapati kebanyakan prasekolah dan tadika belum bersedia beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Tambahnya, banyak premis prasekolah dan tadika berdepan kekangan infrastruktur dalam memenuhi arahan tersebut.
“Kemudahan dimiliki setiap prasekolah ini biasanya tidak sama, contohnya ada yang 2 kelas, dan bila dilaksanakan jarak sosial, akan berlaku masalah seperti tidak mampu menampung jumlah murid, ” katanya dalam satu sidang media.
Sementara itu, Aminudin berkata, NUTP mencadangkan beberapa kaedah bagi membantu guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kebiasaan baru berikutan Covid-19.
Beliau merujuk kepada kaeadah Model Pedagogi Penjarakan Sosial hasil penyelidikan pakar pendidikan dari Universiti Malaya.
“Menerusi kaedah ini, guru perlu cerakinkan topik mata pelajaran mengikut kesesuaian dan kepentingan, sama ada akan diajar menerusi platform dalam talian, secara bersemuka ataupun menerusi sistem yang boleh diakses ketika pelajar mempunyai talian internet,” katanya.
Bagaimanapun tegasnya, pembelajaran dalam kebiasaan baru memerlukan gabungan kedua-dua kaedah pembelajaran dalam talian dan luar talian memandangkan kekangan akses internet di kawasan tertentu.
"Ada sesebahagian topik pembelajaran tegasnya tetap memerlukan guru mengajar secara bersemuka.
“Bagi mengatasi masalah akses internet ini, sistem pengurusan pembelajaran seperti Google Classroom dan Moodle ataupun YouTube boleh digunakan kerana ia boleh dirujuk pelajar pada bila-bila masa ada jaringan internet,” tambahnya.
0 Comments