Wartawan muda BBC mati mengejut


WARTAWAN
berbakat BBC News, Hanna Yusuf, dilaporkan meninggal dunia secara mengejut pada usia 27 tahun menurut laporan Awani.

Berita mengenainya disahkan keluarga Allahyarhamah dalam satu kenyataan semalam, namun punca kematiannya tidak didedahkan.

“Ramai akan mengenali Hanna atas sumbangan luar biasanya dalam dunia wartawan dan tempat kerjanya di BBC.

“Walaupun kami bersedih dengan kehilangannya, (namun) kami berharap legasi Hanna akan menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada rakan sekerja dan komuniti, dan kenangan indah beliau akan terus diingati,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Hanna dilahirkan di Somalia pada tahun 1992 dan dibesarkan di Netherlands.

Petikan twitter keluarga Hanna Yusuf
Allahyarhamah menerima biasiswa Scott Trust bagi menyambung pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang Kewartawanan di Universiti London pada 2017.

Sebelum menyertai BBC, Hanna menulis untuk penerbitan terkenal antaranya Guardian, The Independent dan The Times.

Hanna mencipta nama dalam dunia wartawan kerana artikel-artikel penyiasatan yang dihasilkan beliau termasuk laporan pendedahan mengenai nasib pekerja Costa Coffee yang didakwa tidak dibayar cuti sakit dan cuti tahunan, dan bekerja di luar kontrak.

Sementara itu Pengarah BBC News, Fran Unsworth menyifatkan pemergian Hanna sebagai kehilangan besar dalam dunia wartawan.

“Hanna Yusuf adalah seorang wartawan muda berbakat yang sangat dikagumi di seluruh BBC dan ucapan takziah kami kepada seluruh ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya dipetik Telegraph.

Post a Comment

0 Comments