Tiada sebab untuk Tun M ragu kewibawaan Anwar


TIDAK wajar untuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad membuat kenyataan ragu terhadap prestasi bakal penggantinya- Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang penganalisis politik, Shahbudin Husin dalam satu hantaran di laman blognya menegaskan bahawa pemilihan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 bagi meneruskan pentadbiran negara bukan atas pilihan peribadi Dr Mahathir seperti sebelum ini.

"Kata Dr Mahathir, beliau tidak pasti sama ada penggantinya nanti akan melakukan lebih baik daripada apa dilakukannya sekarang.

Shahbudin Husin
"Jadi, perlukah Tun Mahathir risau tentang prestasi Anwar sebagai bakal penggantinya sedangkan ia bukanlah pilihan beliau?

"Tun Mahathir sebaiknya harus lebih memikirkan untuk menunaikan janji konsensus, kerana itulah yang menjadi penentu kestabilan HARAPAN seterusnya," tegas Shahbudin.

Shahbudin mengulas kenyataan Dr Mahathir pada satu program bersama Majlis Hubungan Luar (CFR) di New York baru-baru ini yang berkata, tiada sebarang jaminan semua usaha yang dilakukannya ketika ini akan mencapai kejayaan seperti diharapkan.

Tambahnya, sewaktu melepaskan jawatan pada 2003, beliau meninggalkan kerusi Perdana Menteri Keempat dengan kedudukan ekonomi, politik dan pentadbiran yang baik namun berubah apabila penggantinya mempunyai idea yang berbeza.

Dr Mahathir terikat dengan janji konsensus
"Tentang kedudukan Anwar, ia adalah pilihan dan ketetapan HARAPAN. Dr Mahathir tidak harus membandingkannya dengan kedudukan Pak Lah atau pun Najib sebelum ini.

"Kecuali Tun Mahathir memungkiri janji  dan berusaha menjadikan pemimpin lain sebagai penggantinya, itu barulah beliau harus risau.

"Pendek kata, kedudukan Anwar sebagai bakal pengganti tidak harus membebankan Dr Mahathir untuk memikirkan tentang pretasinya. Beban dan tanggungjawab Tun Mahathir ialah menunaikan janji yang dipersetujui," tambahnya lagi.

Sebagai rekod,  Anwar dipilih sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 secara konsensus oleh parti-parti gabungan dalam HARAPAN iaitu KEADILAN, DAP, Amanah dan juga Bersatu.

Post a Comment

0 Comments