PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak keberatan untuk berbincang untuk Tun Dr Mahathir Mohammad diberi kedudukan sebagai menteri mentor sesuai dengan pengalamannya.
Keterbukaan itu disuarakan Anwar ketika sesi temu bual dengan stesen Channel News Asia (CNA), yang sebahagian klip rakaman itu dimuat naik Ketua Biro Malaysia CNA, Melissa Goh ke akaun Twitternya malam tadi.
"Mereka bercakap mengenai menteri kanan (atau) menteri mentor macam Lee Kuan Yew.
"Saya terbuka untuk perbincangan (mengenai hal itu)," katanya menjawab soalan pada wawancara tersebut.
Dalam temu bual berkenaan, Anwar dilaporkan ditanya mengenai cadangan agar Mahathir dipilih sebagai calon perdana menteri pembangkang untuk menarik sokongan mencukupi bagi membolehkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bersama gabungannya kembali menjadi kerajaan.
Jadi PM kali ketiga
Bagaimanapun, Presiden KEADILAN itu sekali lagi menegaskan bahawa tindakan mengangkat Mahathir sebagai perdana menteri sekali lagi bagi kali ke-3 adalah tidak munasabah.
Sebagai rekod, dalam usaha mengambil alih semula pentadbiran negara, sebahagian pemimpin mengemukakan cadangan kedua agar Mahathir sekali lagi dilantik perdana menteri dan digandingkan dengan Anwar sebagai timbalannya.
Mahathir kemudian cadang mereka akan berkhidmat selama enam bulan sebelum menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar. KEADILAN melalui satu mesyuarat baru-baru ini bertegas enggan menerimanya.
Cadangan pertama yang dipersetujui HARAPAN sebelumnya ialah Anwar sebagai perdana menteri dengan digandingkan bersama Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya.
Anwar berkata, jika usul melantik Mahathir sebagai perdana menteri dipersetujui, HARAPAN akan menghabiskan masa selama enam bulan sebagai kerajaan tanpa dapat memberikan perhatian kepada usaha reformasi.
Pemimpin juga tegasnya akan sekali lagi bercakap isu seperti tarikh peralihan kuasa sedangkan komited mereka perlulah diberikan sepenuhnya kepada melaksana pembaharuan struktur dalam negara.
"Pada pandangan saya beliau (Mahathir) sudah menjadi perdana menteri dua kali. Sudah masanya untuk kita melangkah ke depan.
"Saya tegaskan bahawa ia bukan isu personaliti. Ia adalah mengenai peluang untuk pemulaan baru untuk negara ini.
"Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. (Ada) begitu banyak kekecewaan politik sekarang," katanya Ahli Parlimen Port Dickson itu.
0 Comments