Tiada calon ketua pembangkang lebih berkaliber dari Anwar - Prabakaran


SEORANG Ahli Parlimen menyifatkan tiada individu lebih layak memimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pandangan itu dinyatakan P Prabakaran (HARAPAN - batu) susulan gesaan supaya Anwar berundur sebagai ketua pembangkang berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

“Selain (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, pemimpin yang paling terkenal di peringkat antarabangsa tidak lain dan tidak bukan adalah Anwar.

“Saya pasti ramai yang bersetuju bahawa tidak ada calon ketua pembangkang yang lebih berkaliber dan lebih berpengaruh daripada Anwar.

“Saya rasa Anwar tidak ada masalah untuk orang lain menjadi ketua pembangkang selagi agenda reformasi diperjuangkan.

"Tetapi pemimpin mana lagi yang mempunyai visi reformasi yang jelas seperti beliau?” kata Prabakaran dalam satu kenyataan.

Terdahulu, ADUN Bilut dari DAP, Lee Chin Chen menggesa Anwar meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Dia turut menyarankan supaya gabungan itu mencari pengganti baharu susulan kegagaglan HARAPAN di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Chin Chen turut mendesak DAP keluar daripada gabungan tersebut dan mencari bentuk kerjasama dengan gabungan yang lain sekiranya Anwar tidak melepas jawatannya itu.

Bagaimanapun, saranan dikemukanya dikritik ramai.

Dalam kenyataan sama juga, Prabakaran menegaskan bahawa terdapat banyak sebab mengapa HARAPAN memenangi PRU lalu yang salah satu faktornya ialah hasrat rakyat untuk melakukan reformasi institusi di negara ini

Gerakan Reformasi yang menjadi ideologi perjuangan HARAPAN kini kata Prabakaran dimulakan oleh Anwar.

“Hari ini kita melihat pelbagai wacana tentang reformasi institusi dan cara menghapuskan rasuah.

“Jika bukan kerana Anwar yang berjuang tanpa mengenal penat lelah untuk reformasi institusi, sudah pasti kita masih terperangkap dengan sistem pentadbiran lapuk yang masih mengamalkan dasar perpecahan dan penaklukan berasaskan kaum,” kata Prabakaran sambil berkata ramai pemimpin telah dilahirkan sepanjang proses reformasi yang masih berjalan sekarang.

Siapa layak ganti Anwar?
Namun, keluhnya, hanya kerana satu kekalahan yang "memalukan", terdapat begitu ramai orang yang mendakwa Anwar tidak lagi layak untuk memimpin pembangkang.

“Di mana bukti Anwar tidak layak? Memandangkan kerana penderitaan dan pengorbanannya, pembangkang diakui dan digeruni buat pertama kali dalam sejarah negara ini.
 
“Jangan berputus asa kepada orang yang tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan agenda reformasi,” katanya lagi.
 
Untuk rekod, Prabakaran menang di kerusi Batu sebagai calon bebas dengan sokongan KEADILANdan kemudiannya menyertai parti itu.
 

Post a Comment

0 Comments