Mengapa gopoh salahkan Anwar, tapi bisu pada Mahathir?


SETIAUSAHA Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dibidas susulan kenyataannya gopoh terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kegagalan gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail pada satu sidang media siang tadi berkata, pihaknya berpandangan bedah siasat untuk mencari punca sebenar faktor-faktor kekalahan gabungan itu di Melaka perlu dilakukan dan bukan mengalih kelemahan itu terhadap Anwar semata-mata.

"Kami ingin merakam rasa duka cita dengan suara-suara keras dari kalangan pemimpin-pemimpin daripada parti-parti komponen HARAPAN yang mendesak Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai pengerusi HARAPAN ekoran prestasi hambar calon-calon  dalam PRN Melaka.

“Kami menyelar keras ‘kegopohan’ Anthony Loke yang mencadangkan pengganti Anwar, sedangkan kita tertanya-tanya siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan mempunyai karisma yang boleh menyaingi ketokohan Anwar setakat ini.

"Kami berpandangan sewajarnya pemimpin-pemimpin HARAPAN perlu melakukan bedah siasat untuk mencari punca sebenar faktor-faktor kekalahan HARAPAN dalam PRN Melaka baru-baru ini.

"Bukannya sekadar menjadikan Anwar Ibrahim sebagai kambing hitam menanggung segala keberatan atas kekalahan tersebut," katanya Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail.

Terdahulu Anthony yang merupakan Menteri Pengangkutan dibawah kabinet bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad dilapor media telah menyarankan supaya gabungan pembangkang mempertimbangkan untuk tidak lagi berpegang dengan keyakinan bahawa perlu satu logo dan calon perdana menteri untuk menang dalam pilihan raya.

Pandangan itu berbeza daripada pendirian DAP sebelum ini agar HARAPAN menggunakan logo gabungan dalam PRN Melaka yang berlangsung 20 November lalu.


Selain Loke, ADUN Bilut,
Lee Chin Chen dari DAP juga sebelum ini mendesak supaya Anwar digantikan individu lain.

Sementara itu tegas Abdul Razak,  PRN Melaka menjadi arena baharu bagi HARAPAN disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan keupayaan parti itu mengadakan ceramah dan kunjungan rumah ke rumah.

Sejak lebih 20 tahun lalu, gabungan pembangkang membentuk kekuatan dengan mengadakan kerjasama bagi menghadapi Barisan Nasional. Dalam beberapa siri pilihan raya, Anwar dibayangkan sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu menang. Ia menarik sokongan ramai kepada gabungan itu.

Pada 2018, HARAPAN memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) susulan gerakan rakyat yang mahukan pembaharuan, namun Dr Mahathir dilantik perdana menteri dengan janji menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.

Walau bagaimanapun, janji itu gagal dilaksana setelah kerajaan dijatuhkan melalui langkah Sheraton apabila parti ditunjangi Mahathir ketika itu mengumumkan keluar dari gabungan pembangkang.

Bersama beberapa Ahli Parlimen yang berpaling tadah, mereka bekerjasama dengan parti-parti yang kalah pada PRU bagi membentuk kerajaan persekutuan dengan Mahiaddin dilantik perdana menteri.

Sementara itu, Presiden Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor yang turut serta dalam sidang media itu berkata, Loke sepatutnya membincangkan isu itu pada mesyuarat Majlis Presiden, bukan membuat kenyataan terbuka.

"Untuk menuding jari kepada saudara Anwar Ibrahim adalah perkara yang tak dapat diterima.

"Semua pihak dalam HARAPAN perlu menahan diri untuk membuat sebarang kenyataan yang boleh merugikan HARAPAN," jelasnya.

Dalam sidang media itu juga mereka mempersoal kenapa tiada pemimpin dari gabungan itu berami mengkritik Mahathir  ketika gabungan itu kalah beberapa PRK.

Jangan jadikan Anwar 'kambing hitam'
"Semasa HARAPAN memerintah negara selama 22 bulan, HARAPAN kalah beberapa PRN di Cameron Highlands, Semenyih dan Tanjung Piai.

"Tetapi, tiada pemimpin komponen menuding jari kepada Dr Mahathir sebaliknya masing-masing kunci mulut sehingga kerajaan tumbang pada Feb 2020 menerusi Langkah Sheraton," kata mereka. 

Post a Comment

0 Comments