Lantikan besar-besaran dilihat cubaan kukuh kedudukan


TIADA
undang-undang mengatakan pelantikan ahli politik dalam GLC sebagai tidak sah, namun apa yang berlaku terutama ketika era pentadbiran Muhyiddin kini dianggap sebagai masalah besar.

Demikian pandangan dilontarkan seorang ahli ekonomi terkemuka Prof Edmund Terence Gomez pada perbincangan dalam talian bertajuk " GLC: politik wang semasa Krisis Ekonomi" yang dianjurkan oleh organisasi masyarakat sivil, Platform For Reform.

Profesor ekonomi politik dari Universiti Malaya (UM) itu berkata pelantikan sedemikian yang bermula sejak penghujung 1980-an ketika di bawah kekuasaan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, telah disalahgunakan untuk kepentingan peribadi ahli-ahli politik dan bukannya untuk kebaikan awam.

"Mereka tidak melanggar sebarang undang-undang. Jadi, walaupun kamu pergi dan buat aduan kepada pihak berkuasa anti-rasuah, mereka akan kata 'apa undang-undang yang telah mereka langgar?"

"Dan itulah sebabnya (Menteri Undang-undang) Takiyuddin (Hassan) kata 'ahli-ahli politik akan dilantik sebagai pengarah GLC" dan boleh terlepas," kata Gomez dipetik laporan Malaysiakini.

Gomez sebelumnya memberi maklum balas terhadap soalan moderator, Azrul Mohd Khalib yang merujuk kenyataan Takiyuddin bulan lalu mengenai apakah pelantikan ahli politik ke GLC menyalahi undang- undang atau rasuah secara terang-terangan.

Sebelum ini Muhyiddin Yassin mengumumkan senarai pelantikan ahli-ahli politik Perikatan Nasional (PN) bagi mengetuai GLC - satu langkah yang digambarkan Gomez sebagai usaha "mengukuhkan asas kekuasaannya."

"Adakah ini penyalahgunaan kuasa? Sudah tentu," tegasnya.

Gomez juga mengatakan kenyataan Takiyuddin mencerminkan keadaan di Kelantan, di mana kajian beliau terhadap GLC mendapati "percambahan ahli PAS sebagai pengarah GLC".

"Jika beliau (Takiyuddin) berasakan tidak ada yang salah di Kelantan, jadi mengapa ia tak boleh dilakukan di peringkat persekutuan?" kata beliau sambil menegaskan ia merupakan masalah serius apabila ahli politik berasa berhak mendapat kedudukan dalam GLC dengan memperolehi manfaat kewangan yang boleh disalurkan semula untuk membiayai aktiviti individu atau parti mereka.

Walaupun tiada undang-undang menentang pelantikan ahli politik dalam GLC, Gomez berkata "penyalahgunaan kuasa" itu menjadi satu isu yang mendesak kerana seseorang ahli politik yang dilantik boleh menggunakan kedudukan dengan cara yang akan menguntungkan mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata ahli politik yang dilantik mengetuai sebuah badan berkanun boleh mewujudkan lebih banyak GLC untuk mencipta jawatan pengarah.

"Pengarah-pengarah ini adalah ahli politik dan ahli-ahli politik mendapatkan wang saku sebagai pengarah, dan wang saku ini adalah besar. Wang saku ini bukan sahaja pergi kepada mereka tetapi juga disalurkan kepada tabung parti," tambahnya.                                    

Post a Comment

0 Comments