Tak mahu panggil sidang dewan: DAP cadang buat laporan polis


DAP
bercadang untuk  membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinet dikepalainya kerana tidak membolehkan Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.

Setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng yang dipetik kenyaataan berkata, Muhyiddin dan Kabinet pimpinannya “berdegil untuk tidak patuh” kepada di-Pertuan Agong yang sebelum ini berkenan membenarkan Parlimen bersidang semula dalam titahnya.
 
“Keengganan itu bukan sahaja merupakan pengkhianatan terhadap demokrasi, tetapi juga perbuatan ‘les majeste’ (derhaka) kepada Agong,” katanya.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang be
rteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

 Guan Eng selar alasan diberikan Takiyuddin
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dipetik laporan media baru-baru ini berkata kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Guan Eng yang merupakan Ahli Parlimen Bagan menyelar kenyataan Takiyuddin dengan menyifatkan pengguhan itu sebagai tidak masuk akal. Malah pemimpin PAS itu jelasnya  memilih untuk mengelirukan rakyat dengan meminggirkan perkataan penting dalam ordinan berkenaan berkaitan “tarikh yang difikirkan sesuai oleh Agong”.
 
“Takiyuddin tidak jujur dengan mendakwa peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkait panggilan dan pembubaran Parlimen tidak berkesan apabila perintah darurat berkuat kuasa di bawah Perkara 14(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,” katanya.
 
“Oleh sebab Agong telah menitahkan bahawa walaupun perintah darurat berkuat kuasa, Parlimen boleh bersidang pada tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat perdana menteri. Tidak ada sebab untuk perdana menteri tidak menetapkan tarikh lebih awal.

“Takiyuddin perlu berhenti bermuslihat dan mengelak dengan mengetepikan Agong dan juga rakyat.” tambahnya.