Presiden UPKO nafi akan sokong PN, berita palsu taktik lemahkan pembangkang


PRESIDEN
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menafikan khabar angin yang menyatakan beliau akan melompat parti menyertai Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, berita palsu itu sengaja disebarkan oleh pihak tertentu dengan tujuan mewujudkan suasana tidak stabil dalam kalangan pemimpin parti pembangkang.

Sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu usaha terdesak untuk memporak perandakan Ahli Parlimen pembangkang, Wilfred mahu tindakan seperti itu dihentikan.

“Saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan pimpinan UPKO bahawa ada satu portal yang mengaitkan nama saya…kononya saya salah seorang Ahli Parlimen pembangkang yang akan melompat dan memberi sokongan kepada kerajaan PN.

“Ini adalah usaha terdesak oleh pihak yang tidak bertangungjawab.

Saya sekeras-kerasnya menafikan dakwaan berkenaan….Saya mahu pihak yang berkenaan berhenti menyebarkan fitnah ini. Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika ia tidak dihentikan," katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook beliau.

Pada pilihan Raya Umum Ke-14, Madius adalah satu-satunya wakil UPKO memenangi kerusi Parlimen atas tiket Barisan Nasional (BN), namun beliau kemudiannya bertindak membawa UPKO keluar daripada BN untuk menyokong dan bersama-sama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) membentuk kerajaan baharu Sabah ketika itu.
 
KEADILAN melalui Setiausaha Agongnya, DatuK Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini mendedahkan tindakan terdesak bagi menarik sokongan Ahli Parlimen pembangkang bagi menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin.

Seorang Ahli Parlimen KEADILAN ( Natrah Ismail - Sekijang) baru-baru ini mendedahkan didatangi dua individu termasuk seorang bergelar ' DatuK Seri' yang cuba memujuknya agar mengkhianati undi rakyat dengan menyokong PN.

Natrah turut diberitahu manfaat yang akan diperolehnya sekiranya sudi menyokong kerajaan yang dibentuk melalui 'Langkah Sheraton' itu.

Tanpa mendedahkan nama individu itu, Natrah dengan tegas berkata, beliau tidak berminat untuk menyokong pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Wilfred gesa henti usaha terdesak
Munyiddin yang sebelum ini didakwa telah hilang sokongan dalam Dewan Rakyat mendapat dua sokongan Ahli Parlimen susulan tindakan Ahli parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon membuat akuan berkanun (SD) menyokong kerajaan PN.

Selain Natrah, seorang lagi Ahli Parlimen dari KEADILAN, Awang Husaini Sahari (Putatan) turut mendakwa dihubungi individu yang membuat tawaran kepadanya sebagai pertukaran untuk sokongannya kepada Muhyiddin.

Post a Comment

0 Comments