MAHKAMAH TINGGI Kuala Lumpur semalam diberitahu bahawa pengurup wang, Omar Ali Abdullah, individu yang didakwa melakukan pengubahan wang haram bagi pihak Presiden umno, Ahmad Zahid Hamidi tidak melaporkan transaksi penukaran wang tunai berjumlah RM7.5 juta kepada cek kepada Bank Negara Malaysia.
Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Fahmee Mohamad Nor, 39, dipetik laporan Bernama berkata hasil siasatan juga mendapati Omar Ali tidak merekodkan sebarang transaksi berhubung penukaran wang tunai kepada cek atas nama Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid itu.
Pertukaran wang tunai kepada cek itu dibuat atas arahan Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri.
"Melalui siasatan saya, Omar Ali memperoleh sejumlah wang yang banyak daripada orang-orang yang tidak dikenali di sekitar premisnya (Syarikat Marhaba Enterprise Sdn Bhd).
"Omar Ali adalah orang tengah kerana dia mendapat arahan daripada Datuk Seri Zahid untuk menukar wang tersebut kepada cek, namun tidak melaporkannya (transaksi penukaran) kepada Bank Negara.
"Wang yang diterima Omar Ali telah ditukar kepada 35 cek. Kawan-kawan Omar Ali yang ingin menukar sama ada mata wang asing akan mendapat wang asing tersebut dengan membayarnya menggunakan cek kosong," katanya.
Mohd Fahmee berkata begitu ketika menjawab soalan tambahan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffrey Ong.
Saksi pendakwaan ke-95 itu berkata demikian pada hari ke-48 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.
Terdahulu, ketika membacakan penyataan saksinya, Mohd Fahmee berkata 35 cek berjumlah RM7.5 juta daripada lima bank ditunaikan ke dalam akaun milik Lewis & Co.
"Hasil siasatan mendapati kesemua 35 cek daripada syarikat dan individu telah disediakan atas permintaan Omar Ali dan pemilik cek tersebut tidak mempunyai apa-apa urusan dengan Lewis & Co atau Mohd Zahid.
"Pengeluaran cek-cek tersebut dilakukan untuk memenuhi kehendak Omar Ali atas sebab sama ada menukar mata wang asing, membayar balik pinjaman wang atau atas arahan Omar Ali semata-mata," katanya.
![]() |
Zahid didakwa beri arahan tukar wang kepada cek |
0 Comments