BEKAS menteri pendidikan ketika era Barisan Nasional (BN),Mahdzir Khalid mendakwa menerima surat diminitkan oleh Najib Razak, yang mana beliau diarahkan agar rancangan Jepak Holdings dilaksanakan.
Mahdzir yang dipetik laporan berita berkata, surat itu yang diterima pada Disember 2015 adalah berkenaan rancangan Jepak Holding memperkenalkan sistem hibrid solar untuk menghasilkan elektrik untuk 369 sekolah di Sarawak.
Minit ditulis pada surat daripada Jepak Holdings kepada Najib bertarikh 23 Nov 2015, dengan berkata: "Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama." lapor Malaysikini.
Terdahulu, Mahdzir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi pendakwa kelima dalam tuduhan rasuah melibatkan isteri bekas perdana Menteri, Rosmah Mansor.
Ia berhubung pelaksanaan projek pelaksanaan sistem solar hibrid di pendalaman Sarawak dengan kos lebih RM1 bilion.
Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Ia didakwa dilakukan menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Sementara itu jelas Mahdzir, pada 2015, beliau mengadakan pertemuan dengan {engarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin yang merupakan sahabat lamanya.
Kelihatan baginya bahawa Saidi merancang untuk mengambil alih sistem elektrik genset janakuasa diesel sedia ada di sekolah-sekolah yang sedang dikendalikan oleh beberapa kontraktor.
Mahdzir berkata sebagai menteri pendidikan ketika itu beliau menolak cadangan Jepak antaranya kerana mempunyai keraguan terhadap kemampuan Jepak Holdings untuk mengendalikan projek besar itu.
0 Comments