PIHAK berkuasa menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki pendatang tanpa izin dari Rohingya.
Sebelumnya pihak berkuasa menahan 269 pelarian Rohignya yang cuba menceroboh perairan Langkawi pagi semalam.
National Task Force (NTF) dalam kenyataan berkata sebuah bot polis marin (PPM) dan kapal maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diatur gerak ke kawasan terlibat setelah menerima maklumat pegawai pemerintah maritim operasi polis Langkawi.
“Ketika KM Kimanis menghampiri bot itu, seramai 53 warga Rohingya terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai dan semua mereka berjaya ditahan oleh anggota APMM yang bersedia di daratan.
“Selain itu, pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 216 warga Rohingya dan mayat seorang wanita turut ditemukan di dalam bot itu,” menurut kenyataan tersebut.
Tambah NTF lagi, siasatan mendapati bot berkenaan sengaja dibocorkan manakala enjin turut mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat dibaiki seterusnya tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan.
Susulan itu bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi.
“Semua 269 pendatang tanpa izin itu kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi manakala mayat itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.
0 Comments