Monsun: Bomba P.Pinang beku cuti kakitangan


CUTI bagi pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dibekukan dan kesemua mereka kini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

Pengarahnya Saadon Mokhtar berkata, arahan itu dikeluarkan JBPM Pulau Pinang susulan kemungkinan bencana banjir ekoran perubahan angin Monsun Timur Laut (MTL).

Pembekuan cuti itu melibatkan 821 pegawai dan anggota jabatan itu.

"Anggota Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bersiap sedia 24 jam dari segi akses, keperluan peralatan dan logistik penyelamatan termasuk bot yang berada dalam keadaan baik serta persediaan pasukan Unit Udara di Bertam.

"Kami juga membuat rondaan dan pemantauan di kawasan rendah yang dijangka berlaku banjir jika hujan lebat bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan" katanya dipetik laporan media.

Sejak Isnin, beberapa kawasan di daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di negeri ini di landa banjir kilat.

Difahamkan, sebanyak dua pusat pemindahan sementara dengan 110 mangsa banjir telah dibuka.

Sementara itu, Saadon berkata pihaknya menyambut baik usaha KRT Kampung Valley mewujudkan pasukan Bomba Komuniti bagi membantu pihak bomba ketika berlakunya kebakaran.

AGENSI Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menjangkakan beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu dan Utara Semenanjung berisiko berdepan situasi banjir bermula bulan hadapan.

Susulan itu, kerajaan menjangkakan seramai 1.6 juta penduduk di seluruh negara bakal terjejas susulan fenomena itu.

Post a Comment

0 Comments