'Lockdown': Jawatankuasa pendidikan Harapan tuntut 4 perkara

 

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) digesa supaya mengambil langkah awal pelan persekolahan pasca sekatan pergerakan penuh (total lockdown).

Gesaan itu dibuat Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan  (HARAPAN) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) bermula 1 hingga 14 Jun katanya, Jawatankuasa Pendidikan HARAPAN mendesak empat perkara utama yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan.

"KPM perlu menyatakan pelan persekolahan pascasekatan pergerakan secara telus agar para guru, ibu bapa dan murid-murid agar dapat membuat persiapan awal semenjak cuti persekolahan lagi.

"KPM juga perlu mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru-guru dan bukan hanya terhad kepada guru yang berusia dan berisiko sahaja," kata jawatankuasa dipengerusikan bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melalui satu kenyataan media hari ini.

Difahamkan, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu sudah tamat dan cuti sekolah selama dua minggu pula bakal bermula.

Susulan peningkatan kes baharu Covid-19 yang semakin teruk di negara ini, Kerajaan dikepalai Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan pergerakan penuh (Total lockdown)  bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021 susulan peningkatan kes Covid-19.

Ia membabitkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Total lockdown' berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun.

Sekiranya 'lockdown' fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan 'lockdown' fasa kedua yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

'Lockdown' fasa kedua itu dijangka akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

Hanya setelah fasa kedua selama empat minggu itu berakhir, kerajaan akan kembali menguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan ketika ini,

Sementara itu Maszle mahu kementerian memperbaiki kelemahan yang dibangkitkan sepanjang sesi PdPR sebelum ini.

Antara lain katanya guru dan pelajar masih dibelenggu dengan keadaan tiada peranti, capaian internet lemah, suasana pembelajaran tidak kondusif, sukatan mata pelajaran yang direka untuk pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah yang tidak sesuai diadaptasi kepada PdPR, kekurangan bahan PdPR dan pelaksanaan TV Pendidikan yang tidak efektif.

"Hal yang sama dihadapi oleh murid-murid yang mana 150,000 komputer riba yang dijanjikan sehingga kini belum lagi diterima murid-murid dari keluarga B40," katanya .

Bertitik tolak daripada kesedaran itu juga tegasnya, jawatankuasa tersebut mendesak agar kerajaan memberikan insentif ‘one-off’ kepada guru yang telah dan akan menggunakan wang sendiri sepanjang total lockdown untuk membeli data dan membuat persiapan bantuan mengajar dalam talian.

Perbaiki kelemahan PdPR sebelum ini
"KPM juga perlu menyegerakan pemberian kesemua 150,000 komputer riba yang dijanjikan kepada murid-murid dari keluarga B40.

"Perlu diingat kegagalan kerajaan persekutuan terutamanya menteri pendidikan dan dua timbalannya di dalam memberikan respon proaktif seperti yang diperlukan rakyat akan memberi kesan buruk mendalam kepada lebih lima juta orang pelajar generasi ini bukan sahaja untuk masa kini tetapi pada dekad-dekad akan datang," tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments