PARTI KEADILAN RAKYAT menegaskan bahawa kenyataan Iswardy Morni yang didakwa berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sama sekali tidak mewakili pendirian parti itu.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil melalui satu kenyataan berkata, Iswardy merupakan anggota parti itu dan berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak tetapi tidak memegang sebarang jawatan sama ada di peringkat negeri mahupun pusat.
“Pimpinan KEADILAN mengambil maklum sebuah video YouTube yang dimuat naik seorang individu bernama Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.
"Kenyataan dia tidak sama sekali mewakili pendirian KEADILAN, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti," kata Fahmi dalam kenyataan.
Iswardy melalui satu video secara ‘live’ mengeluarkan kenyataan mendakwa Seri Paduka seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19.
“Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu. Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” katanya.
Susulan kenyataan itu, polis telah menahan individu berusia 40-an itu ditahan di kediamannya di Kajang dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dibuka.
![]() |
Kenyataan Iswardy tak wakili pendirian parti |
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memberitahu bahawa beberapa kenyataan Iswardy dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik KEADILAN, dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepadanya.
0 Comments