Mufti Perak, Harussani Zakaria meninggal dunia


MUFTI PERAK, Tan Sri Dato' Seri Dr Hj Harussani Zakaria telah menghembuskan nafas terakhir semasa menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Perkhabaran duka itu dimaklumkan secara rasmi oleh laman Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak petang semalam.

“Dukacita dimaklumkan, Mufti Perak Tan Sri Dato' Seri Dr Hj Harussani bin Hj Zakaria baru sahaja meninggal dunia," menurut hantaran itu.

Sinar Harian dalam laporan yang memetik Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim menyatakan, Allahyarham meninggal dunia pada jam 2.45 petang (Ahad)

Untuk rekod, Allahyarham menyandang jawatan Mufti Perak sejak 1985 dan berusia 82 tahun.

Pada 11 Mei lalu, Allahyarham dan isteri Puan Seri Ainon Abdul Ghani dilaporkan positif Covid-19,  pada minggu lalu Allahyarham dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Isteri Allahyarham sudah beransur pulih dan dibenarkan keluar hospital pada 21 Mei lalu.
 
Berita kematian Allahyarham itu turut  mendapat perhatian beberapa pemimpin politik.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Takziah kepada keluarga Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria atas musibah besar ini. Saya turut berduka dan mendoakan.

“Almarhum Tan Sri Dr Harussani Zakaria adalah kenalan dan sahabat sejak beliau menjadi kadi besar Pulau Pinang dan kemudiannya mengurus perkahwinan saya dan Azizah pada tahun 1980.

“Mendoakan agar keluarga almarhum tabah dan kuat saat ini,” kata Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar  Ibrahim di media sosialnya.

“Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un."Takziah diucapkan kepada ahli keluarga Tan Sri Dato Seri Dr Harussani Zakaria atas kembalinya kerahmatullah. Semoga beliau memperoleh setinggi pengampunan dan ditempatkan bersama para solehin," kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu di Facebooknya.

 Allahyarham Harussani berusia 82 tahun


Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham.


Melalui satu kenyataan di Facebook Istana Negara, baginda berdua mengucapkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga  Allahyarham.

Post a Comment

0 Comments