POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dilapor akan menjalankan siasatan terhadap penulis sepucuk surat yang mengkritik hiasan sambutan Tahun Baru Cina di sebuah sekolah di Puchong sehingga menimbulkan kekecohan baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata beliau mendapati surat tersebut mengandungi menghasut dan ugutan.
"Saya sudah mengarahkan supaya satu siasatan dijalankan ke atas penulis surat tersebut," katanya menurut laporan Bernama.
Sementara itu tambah Abdul Hamid, beliau tidak merasakan sekolah tersebut melakukan apa-apa kesalahan dalam isu hiasan tersebut malah memuji tindakan pihak sekolah atas usaha menjalin hubungan lebih erat antara rakyat melalui pemahaman budaya masing-masing.
"Saya dapati pihak sekolah tidak melakukan apa-apa kesalahan di atas inisiatif mereka menghias sekolah sempena menyambut Tahun Baru Cina.
"Saya memuji pihak sekolah atas inisiatif menyuburkan perasaan saling hormat menghormati antara pelbagai budaya di negara ini," kata Abdul Hamid lagi.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan seorang pemimpin kanan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengancam untuk melaporkan sekolah itu dengan mendakwa hiasan tersebut bersifat keagamaan.
Ketidakpuasan hati mengenai hiasan itu dinyatakannya dalam sepucuk surat kepada sekolah berkenaan yang dipaparkan di media sosial.
Sebagai rekod, sambutan Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya dan tidak ada kaitan dengan agama.
0 Comments